

LAWAS: Polis Daerah Lawas berjaya menahan dua individu termasuk wanita warga emas yang terlibat menjadi keldai akaun.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, memaklumkan bahawa semalam, di tepi Jalan Banting, Lawas, sepasukan polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 62 tahun.
“Beliau yang bekerja sebagai peniaga ditahan kerana terlibat dengan jenayah penipuan pelaburan tidak wujud di bandar Baru Bangi Selangor pada September 2024 yang lalu.
“Kes berkenaan melibatkan kerugian RM14,700. Suspek mengakui tidak tahu akaun digunakan oleh orang lain untuk tujuan penipuan. Semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 420 KK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, pada Selasa lepas, di sebuah rumah di Jalan Trusan, Lawas, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, bekerja sendiri, kerana terlibat dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud di Nilai, Negeri Sembilan pada 8 Ogos 2025.
Kes berkenaan melibatkan kerugian RM 2,000. Suspek mengakui tidak tahu akaun digunakan oleh orang lain untuk tujuan penipuan. Semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 420 KK.
Sementara itu pada Isnin lalu pihak polis menerima laporan dari seorang lelaki tempatan yang melaporkan berkaitan kes tipu pinjaman tidak wujud menggunakan laman sosial dan melibatkan kerugian RM11,540.
Pengadu menyatakan pada 8 Februari 2026, pengadu telah nampak satu iklan pinjaman wang dan pengadu berminat untuk membuat pinjaman wang.
Pengadu telah membuat beberapa bayaran atas alasan guaman dan proses tetapi masih tidak menerima wang dan menyedari telah ditipu. Kes disiasat mengikut seksyen 420 KK.
Oleh Adeng Edrus