

SUSPEK DITAHAN… Dua suspek masing-masing ada rekod kesalahan lampau berjaya ditahan.
LAWAS: Dua lelaki yang masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan oleh Polis Daerah Lawas atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan bahawa suspek pertama telah ditahan petang semalam sekitar 3.10 petang di sebuah rumah di Bandar Lawas.
Seorang lelaki berusia 56 tahun telah berjaya ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis telah menemui dan merampas satu keratan straw yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.12 gram. Suspek telah ditahan, manakala keratan straw tersebut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.


HASIL PEMERIKSAAN… Straw minuman mengandungi dadah ditemui daripada pemeriksaan ke atas suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. Semakan terhadap rekod lampau suspek mendapati dia mempunyai empat kesalahan jenayah terdahulu,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari yang sama, kira-kira 2.00 petang di sebuah rumah di Trusan, Lawas, sepasukan polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang turut disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek, pihak polis telah menemui dua keratan straw yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan berat kasar 1.92 gram.
Suspek telah ditahan, manakala keratan straw tersebut dirampas untuk siasatan lanjut. Semakan terhadap rekod lampau suspek turut mendapati dia mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dadah.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah atau jenayah kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Oleh Adeng Edrus