KUCHING: Berkat laporan awal yang dibuat oleh sang anak, lima pemancing dan tiga kru ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang di perairan laut sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata bot yang dinaiki mereka berjaya dikesan tengah hari tadi sebelum ditunda.
Katanya, bot itu kemudian tiba di jeti Semariang Batu, di sini pada pukul 5.25 petang.
“Pada pukul 1.45 petang tadi, rakan pemancing telah berjaya berhubung dengan bot pancing.
“Bot pancing itu termasuk kesemua lapan individu telah ditemui dalam keadaan selamat pada kedudukan 38 batu nautika di barat laut Belawai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata punca kejadian adalah disebabkan oleh masalah enjin bot yang dialami semasa dalam perjalanan pulang semalam.
Menurutnya lagi, laporan kehilangan bot pemancing itu dibuat oleh anak seorang pemancing pada 3.46 petang semalam kerana khuatir akan keberadaan ayahnya yang sepatutnya balik dari laut petang semalam.
“Berdasarkan laporan yang diterima, pengadu memaklumkan kumpulan pemancing itu turun ke laut pada pukul 9 pagi, 29 Oktober lalu dengan sebuah bot pancing yang bernombor pendaftaran QKH 9848 Z.
“Anaknya memaklumkan mereka sepatutnya balik pada petang 31 Oktober, namun setakat laporan dibuat semalam, ayahnya masih gagal dihubungi dan tidak dapat dipastikan keberadaannya,” jelasnya.
Bertindak atas laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Operasi SAR dilakukan sehingga perairan Paloh di Belawai dalam Bahagian Mukah.
Mangsa dikenal pasti sebagai Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33; Mohamad Haikal Sharkawi, 17; Mohd Azizi Hamzi,17; Dahlan Ramli, 41; Hasrin Ismail,53; Johari Bujang,51 dan Abdullah Ajek, 56.
Oleh RYNNA SHA’ERRA