
BURNLEY (UK): Pemecatan Ruben Amorim tidak memberi kesan segera kepada Manchester United apabila dua gol Benjamin Sesko hanya memadai untuk keputusan seri 2-2 menentang Burnley yang bergelut.
Gol sendiri Ayden Heaven dan jaringan menarik Jaidon Anthony memastikan Burnley yang menghuni tangga kedua tercorot membawa pulang satu mata, meskipun mereka masih belum mencatat kemenangan sejak lewat Oktober.
United sekali lagi melepaskan peluang untuk mara ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas gagal menang buat kali kelima dalam enam perlawanan terakhir.
Rentetan keputusan mengecewakan itu, ditambah pertelagahan dengan pengarah bola sepak kelab Jason Wilcox, menyaksikan United berpisah dengan Amorim pada Isnin.
Bekas pemain tengah United, Darren Fletcher, dilantik sebagai pengurus sementara, dengan rakan sepasukan lamanya Ole Gunnar Solskjaer dan Michael Carrick dilaporkan antara calon utama untuk mengisi jawatan pengurus interim sehingga akhir musim.

Fletcher segera membuat perubahan dengan kembali menggunakan formasi empat pertahanan, meninggalkan sistem 3-4-3 yang menjadi punca kejatuhan Amorim.
Pasukan pelawat turut menerima suntikan semangat dengan kembalinya kapten Bruno Fernandes daripada kecederaan, manakala Fletcher turut menamakan anaknya, Jack, di bangku simpanan.
Burnley kini tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan dan ketinggalan lapan mata daripada zon selamat, namun mereka sekali lagi memberi tentangan sengit kepada United, selepas pertemuan di Old Trafford awal musim ini yang menyaksikan Fernandes menjaringkan penalti masa kecederaan untuk kemenangan 3-2 Red Devils.
Pasukan tuan rumah bernasib baik membuka jaringan apabila hantaran Bashir Humphreys terkena Heaven sebelum melambung masuk ke penjuru gawang.
Nasib malang United berterusan apabila gol penyamaan Lisandro Martinez dibatalkan secara kontroversi atas kesalahan ke atas Kyle Walker.
Humphries dan Maxime Esteve pula melakukan dua clearance di garisan gol yang cemerlang untuk mengekalkan kelebihan Burnley sehingga rehat separuh masa.
Namun, Sesko hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan jumlah jaringannya bersama United daripada dua kepada empat, sejak menyertai kelab itu dengan nilai sehingga £74 juta (AS$100 juta) dari RB Leipzig.
Penyerang Slovenia itu meledak gol pertama hasil hantaran bijak Fernandes sebelum menyempurnakan gol kedua dengan menolak kemas hantaran Patrick Dorgu melepasi Martin Dubravka.
Fernandes kemudiannya dikeluarkan serta-merta oleh Fletcher bagi melindungi pemain Portugal itu yang baru pulih daripada kecederaan hamstring.
Ketiadaannya jelas dirasai dalam 30 minit terakhir apabila United sekali lagi mensia-siakan mata dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Anthony diberi terlalu banyak ruang untuk berpusing sebelum melepaskan rembatan padu ke penjuru atas gawang bagi menyamakan kedudukan.
United hampir mencuri kemenangan apabila remaja Shea Lacey melepaskan percubaan jarak jauh yang menggegarkan palang gol.
Namun, mereka terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan jatuh ke tangga ketujuh, dipintas Brentford dan Newcastle, serta kini ketinggalan dua mata di belakang Liverpool yang menghuni tempat keempat. – AFP