Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Dua gol sendiri selamatkan maruah Arsenal menentang Wolves
  • SUKAN

Dua gol sendiri selamatkan maruah Arsenal menentang Wolves

Utusan Sarawak 11 hours ago

Sepakan sudut Bukayo Saka (tengah) ditepis ke tiang oleh penjaga gol Wolves, Sam Johnstone, namun bola melantun mengenai badannya sebelum masuk ke gawang untuk gol sendiri. Foto AFP

LONDON: Arsenal terlepas daripada satu keputusan memalukan ketika menentang kelab tercorot Liga Perdana Inggeris, Wolves awal pagi tadi apabila dihadiahkan dua gol sendiri — termasuk satu pada masa kecederaan — untuk mencatat kemenangan dan melebarkan jurang kepada lima mata di hadapan Manchester City.

Anak buah Mikel Arteta tampak tumpul pada separuh masa pertama, gagal menghasilkan satu pun percubaan tepat ke sasaran ketika Gabriel Martinelli mensia-siakan beberapa peluang keemasan.

Pengurus Arsenal itu melakukan tiga pertukaran sejurus sebelum sejam perlawanan, memasukkan Leandro Trossard, Martin Odegaard dan Mikel Merino menggantikan Martinelli, Eberechi Eze dan Martin Zubimendi.

The Gunners kemudiannya melancarkan serangan demi serangan, dan rembatan Declan Rice di pertengahan separuh masa kedua — percubaan tepat pertama mereka — berjaya ditepis kemas oleh penjaga gol Sam Johnstone.

Namun pada minit ke-70, tekanan bertali arus akhirnya membuahkan hasil, sekali gus melegakan penyokong Emirates yang semakin gelisah dan tidak sabar.

Johnstone menepis sepakan sudut Bukayo Saka ke tiang ketika cuba mencapai bola, tetapi bola melantun semula mengenai lengannya sebelum menerjah jaring untuk gol sendiri.

Gabriel Jesus kemudian dimasukkan menggantikan Viktor Gyokeres menandakan penampilan pertama di laman sendiri selepas 11 bulan diketepikan akibat kecederaan.

Namun secara mengejutkan, Wolves menyamakan kedudukan pada minit ke-90 apabila hantaran lintang rendah Mateus Mane ditanduk masuk oleh penyerang Nigeria, Tolu Arokodare.

Tatkala penyokong Arsenal mula membayangkan keputusan seri yang merugikan, The Gunners sekali lagi mendapat durian runtuh menerusi gol sendiri kedua.

Saka melayangkan hantaran lintang sempurna yang cuba disambar Jesus, tetapi bola tersebut tersasar dan dimasukkan ke gawang sendiri oleh pertahanan Wolves, Yerson Mosquera.

Wolves yang masih belum mencatat kemenangan, kini mengalami kekalahan liga kesembilan berturut-turut. 

Mereka hanya mengumpul dua mata daripada 16 perlawanan setakat ini dan berada di landasan untuk melalui musim terburuk dalam sejarah Liga Perdana.

Pasukan kendalian Pep Guardiola Manchester City, akan bertandang ke gelanggang pasukan yang sedang meningkat naik, Crystal Palace malam ini pada Ahad dalam usaha merapatkan jurang dengan Arsenal, yang kali terakhir menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2004. -.AFP

Continue Reading

Previous: ‘Tiada isu perlu diselesaikan dengan Salah’ – Slot
Next: Larian Perpaduan 7.0 catat penyertaan 2,345 peserta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.