PARIS: Cristiano Ronaldo meledak dua gol ketika Portugal membelasah Poland 5-1 untuk mara ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA.
Skuad kendalian Roberto Martinez menjuarai Kumpulan A1 dengan satu perlawanan berbaki, mengesahkan tempat di pusingan seterusnya pada Mac.
Poland bermula bagus tetapi gagal menyempurnakan peluang di Porto dan tuan rumah menghukum mereka dengan empat gol dalam tempoh 20 minit.
“Kami gagal menemui rentak di babak pertama. Pendekatan (pengendali) Roberto Martinez dalam bilik persalinan sangat penting; ia kunci kepada meredakan tekanan di separuh masa,” kata salah seorang penjaring gol Portugal, Rafael Leao.
Percubaan Ronaldo di babak pertama melepasi palang, dengan Portugal gagal melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang 45 minit awal itu.
Dominik Marczuk hampir memecah kebuntuan pada minit ke-58, tetapi penjaga gol Portugal, Diogo Costa menepis percubaannya.
Tuan rumah menjaringkan gol seminit kemudian hasil gerakan serangan balas Leao yang berbalas hantaran dengan Nuno Mendes sebelum menanduk masuk gol pertama.
Portugal diberikan sepakan penalti apabila rembatan Diogo Dalot terkena tangan Jakub Kiwior dan Ronaldo tampil menyempurnakannya dengan sepakan ‘Panenka’.
Bruno Fernandes menambah gol ketiga Portugal ketika permainan berbaki 10 minit, diikuti jaringan Pedro Neto yang menyempurnakan hantaran Ronaldo.
Ronaldo meledak gol keduanya untuk keseluruhan 135 gol antarabangsa, dengan sepakan akrobatik hasil hantaran Vitinha pada minit ke-87.
Marczuk meledak gol tunggal Poland yang gagal layak ke pusingan kalah mati dan akan tercicir ke liga B sekiranya tewas kepada Scotland minggu depan. – AFP