BINTULU: Dua ekor buaya yang dipercayai terlibat dalam serangan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berjaya ditangkap oleh seorang pawang menggunakan kaedah pancing mata alir di Sungai Tatau hari ini.
Pawang berpengalaman, Indet Senabong, 62, dari Betong, dipanggil oleh keluarga mangsa untuk membantu operasi setelah usaha pencarian yang dilakukan lebih seminggu tidak berhasil.
Indet memulakan usahanya dengan menggunakan umpan daging (khinzir) yang dipasang pada lima mata kail.
Pada pagi tadi seekor buaya sepanjang 17 kaki dengan anggaran berat dua tan berjaya ditangkap, diikuti oleh seekor lagi buaya sepanjang 18 kaki pada tengah hari.
Kedua-dua buaya tersebut dibawa ke jeti pos operasi untuk diperiksa.
“Kalau buaya itu tidak makan manusia, memang buaya itu tidak akan makan umpan yang dipasang.
“Banyak tadi lalu, tapi tidak makan pun umpan sebab bukan ‘ia’ yang makan dan hanya dua ini saja yang makan umpan daripada lima umpan yang telah dipasang,” katanya ketika ditemui di jeti pos operasi terbabit petang ini.
Dengan kejayaan penangkapan kedua-dua buaya, beliau memberitahu bahawa operasi mencari buaya boleh ditangguhkan buat sementara waktu, tetapi penantian pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa tetap dinantikan oleh keluarga mangsa dan komuniti.
“Semasa proses membelah perut buaya pertama, empat batang gigi ditemui di dalam perut buaya tersebut.
“Namun begitu, kita masih menunggu pengesahan forensik dan DNA untuk menentukan perkara sebenar,” katanya yang menghabiskan masa selama dua hari dua malam mencari buaya tersebut.
Kejadian malang itu berlaku pada 18 September apabila Cicilia Julan Intik, 6, dipercayai disambar buaya ketika sedang mandi bersama datuknya di Sungai Annap.
Insiden ini telah mengejutkan seluruh komuniti setempat dan mendorong pelbagai pihak, termasuk bomoh dan pihak berkuasa, untuk bekerjasama dalam usaha menangkap buaya tersebut.
Oleh Carolyne Utih