KUCHING: Dua individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Memandu di Bawah Pengaruh Alkohol (Op Mabuk) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.
Menurut kenyataan IPD Padawan, operasi berkenaan dijalankan dari 11.30 malam semalam hingga 5.30 pagi tadi di Batu 7, Jalan Penrissen, Kuching-Serian.
Operasi itu melibatkan kekuatan seorang Pegawai Kanan Polis (PKP), 10 Pegawai Rendah Polis (PRP) BSPT serta empat Pegawai Sukarelawan Polis (PVR) daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK).
“Sepanjang operasi, sebanyak 69 kenderaan diperiksa membabitkan 22 motosikal, 29 kereta, tujuh pacuan empat roda (4WD), lima lori dan enam kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Seramai 96 individu turut diperiksa, terdiri daripada 68 lelaki dan 28 perempuan.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 257 keping saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta, 11 motosikal, empat MPV, empat 4WD dan satu lori.
“Pemeriksaan turut melibatkan ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ terhadap lapan individu, dengan enam daripadanya didapati positif manakala dua lagi negatif.
“Sementara itu, ujian menggunakan alat EBA II terhadap enam individu mendapati dua positif alkohol dan empat lagi negatif.
“Dua individu yang didapati positif ujian alkohol ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2019) kerana memandu melebihi had alkohol yang ditetapkan,” jelasnya.
Tambah kenyataan tersebut, objektif operasi berkenaan adalah untuk mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu atau penunggang yang memandu di bawah pengaruh alkohol bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Polis turut menegaskan orang ramai supaya tidak memandu sekiranya berada di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.




