

KOTA SAMARAHAN: Polis menahan dua suspek termasuk seorang warga asing serta merampas lebih satu kilogram (kg) dadah disyaki ganja dalam satu serbuan di universiti awam di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Barry William berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kota Samarahan semalam hasil maklumat dan risikan.
“Dalam serbuan itu, polis menahan dua individu, iaitu seorang lelaki tempatan, 27 tahun dan warga asing, 23 tahun. Polis turut merampas dadah disyaki ganja seberat 1,095.01 gram dengan anggaran nilai RM3,285.30,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan akan direman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Barry menegaskan bahawa pihak BSJN komited dalam memerangi penyalahgunaan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui talian JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau talian JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211,” katanya.
Oleh Connie Chieng