

KOTA SAMARAHAN: Dua individu cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah lori treler berhampiran Taman Berlian di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.10 pagi.
Komander Operasi, PBK I Justin Basik berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi, didapati kemalangan tersebut melibatkan dua mangsa dewasa yang berada di dalam Proton Saga, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, yang mengalami kecederaan.
Pemandu lori treler pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mangsa wanita berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan pengusung, manakala mangsa lelaki telah dikeluarkan lebih awal sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans. Kedua-dua mangsa yang cedera berusia 22 tahun.
Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.53 pagi dan ditamatkan pada 8.16 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.