SELANGAU: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah disyaki syabu dalam serbuan di Jambatan Sungai Nirai, Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 11.30 pagi.
Menurutnya ketika serbuan, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh berada di dalam sebuah Proton Suprima S berwarna biru yang berhenti di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai methamphetamine atau syabu di bawah karpet tempat duduk penumpang hadapan.

“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.35 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Rizal berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan ujian air kencing mendapati mereka positif amphetamine dan methamphetamine.
“Kedua-duanya direman selama dua hari hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah berbahaya,” katanya.
Beliau menambah, polis akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.
Maklumat boleh disalurkan menerusi talian IPD Mukah di 084-871222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting





