Dua buruh ditahan positif dadah di Bau

Facebook
WhatsApp
SUSPEK ditahan selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing.

BAU: Dua buruh tempatan ditahan selepas didapati positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina dalam ujian saringan awal air kencing yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi itu dijalankan dari 11.00 pagi hingga 11.25 pagi di Pejabat BSJND Bau.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 27 dan 30 tahun itu positif dadah jenis amfetamina dan metamfetamina sebelum mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Haide berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Opar mengaku dalam percakapan awal bahawa kali terakhir mereka mengambil syabu adalah dua hari sebelum ditahan.

Beliau berkata, tiada dadah atau barangan lain dirampas dalam operasi berkenaan.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan,” katanya.

Oleh Connie Chieng