
SARATOK: Dua blok kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat telah musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah menerima panggilan kecemasan sekitar 12.50 tengah hari.
Seramai 11 anggota BBP Saratok yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Rahman Sabi telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan dua blok kuarters guru jenis tidak kekal telah musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran tersebut.
“Siasatan awal mendapati satu blok mempunyai dua pintu, tiada berpenghuni dan di dapati kosong serta tidak didiami. Manakala satu lagi blok yang juga mempunyai dua pintu di diami, namun penghuni tiada di rumah semasa kejadian berlaku.
“Secara keseluruhannya, empat pintu kediaman terlibat dalam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
PGO berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membentang satu aliran sepanjang 200 kaki menggunakan satu nozel bagi mengambil sumber air terbuka dari parit berdekatan untuk memadam kebakaran.
“Jentera bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan kejadian disebabkan keadaan jalan yang sempit. Ekoran itu, peralatan terpaksa dipindahkan dari jentera ke kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux untuk dibawa ke lokasi kebakaran,” ujarnya.
PGO berkata kerja-kerja pembersihan turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini. Jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.00 petang,” katanya.
Oleh Adi Safarman