LIMBANG: Dua beranak dipercayai hilang ketika memasang pukat ditemukan lemas di Sungai Pulau Brunei, Limbang.
Mangsa, Atin Isik, 62 tahun, dan anak saudaranya, Joence Jordisone Jamit, 16 tahun, ditemui meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama dua hari.
Menurut laporan awal, kejadian dipercayai berlaku pada 15 Februari sekitar 1.00 tengah hari apabila kedua-dua mangsa pergi ke sungai bagi memasang pukat ikan.
Bagaimanapun, pada keesokan harinya, sekitar 11.24 pagi, ahli keluarga mereka mula menyedari kehilangan mereka selepas kedua-duanya tidak pulang ke rumah.
Hasil pencarian oleh keluarga mangsa menemukan Atin Anak Isik dalam keadaan tidak sedarkan diri di tebing sungai berhampiran Kampung Pulau Brunei.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak saudaranya masih hilang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang menerima panggilan kecemasan pada 1.33 petang dan segera menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer.
Pasukan yang diketuai oleh Komander Operasi Kanan, PPgB Azman Bin Ibrahim, tiba di lokasi pada 2.30 petang dan segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Semasa hari kedua operasi SAR, pasukan bomba memulakan pencarian semula pada 7.30 pagi di sekitar Rumah Panjang Thaddeus, Kampung Pulau Brunei, Mendamit, Limbang.
Sekitar 9.20 pagi, orang awam yang turut membantu dalam pencarian menemukan mayat mangsa kedua di Sungai Medamit, tidak jauh dari lokasi pertama mangsa ditemui.
Pasukan penyelamat bertindak membawa mangsa ke Rumah Panjang Thaddeus sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut JPBM, operasi yang melibatkan tujuh anggota bomba bersama sebuah kenderaan Hilux dan sebuah van Urvan ini turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung yang turut sama berganding bahu dalam usaha pencarian.
“Penemuan mangsa kedua menandakan operasi SAR secara rasmi ditamatkan pada 11:00 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa dan kami JBPM Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.