
KANOWIT: Dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di Jalan Majau berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Majau, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna perak dan sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa telah hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Kanowit untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi siaran media sebentar tadi.
Katanya, pihak polis ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, mematuhi had laju yang ditetapkan, dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.32 tengahari.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati benar berlakunya kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak.
“Terdapat dua mangsa lelaki masih tersepit di dalam kereta manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak tersepi,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Katanya, PKO bertindak melakukan kerja operasi penyelamatan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan Alat Penyelamat Kemalangan Jalan Raya (RTA).
“Kedua-dua mangsa yang berumur 50 dan 69 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi penyelamatan tamat pada 1.20 petang,” tambahnya.