RASMI MAJLIS...Henry Sum Agong merasmikan Pesta Chap Goh Meh di Tokong Tua Pek Kong Bandar Lawas malam tadi.
LAWAS: Dua Ahli Parlimen kerajaan dari Sarawak tidak berkesempatan untuk mengundi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun di Dewan Rakyat semalam.
Keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir (termasuk lapan Ahli Parlimen kerajaan selain dua Bebas ‘mesra kerajaan’) dan 44 lagi tidak mengundi.
Ini bermakna, kurang dua undi untuk mencapai 148 bagi memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen Datuk Larry Sng Wei Shien, dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dihubungi Utusan Sarawak hari ini memberi alasan punca ketidakhadiran di Dewan Rakyat.
Bagi Henry Sum, jadual kerja rasmi yang padat di kawasan serta kesukaran mendapatkan penerbangan ke Kuala Lumpur antara sebab tidak dapat menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat semalam.
“Malah saya tidak menerima notis dan hanya dimaklum pada saat akhir oleh pihak Parlimen.
“Kita ada banyak program di kawasan bertemu dengan rakyat, meninjau permasalahan rakyat dan pada masa sama mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam program rasmi Ahli Dewan Undangan Bukit Sari itu.
“Sekarang memang sukar mendapat penerbangan terus ke Kuala Lumpur untuk sesi Parlimen kerana ramai balik awal untuk menziarahi keluarga dan urusan pendaftaran kemasukan pelajar ke universiti untuk pengajian awal Mac ini, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Henry Sum yang berada di Long Tuan, Ulu Trusan turut menjelaskan bahawa beliau tidak dapat mungkir janji untuk tidak hadir ke program di kawasan kerana jadual lawatan di kawasan telahpun diatur awal oleh penganjur.
Sementara itu, Larry Sng menjelaskan ketidakhadirannya ketika pengundian RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri berpunca daripada kekangan masa.

Katanya, semalam beliau berada di Dewan Rakyat dari 11.00 pagi hingga 5.00 petang bagi menghadiri urusan rasmi serta melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Perladangan, Sains dan Alam Sekitar.
“Jadi habis kerja tersebut, saya keluar dari Parlimen, tidak jauh, hanya 15 minit saja dari Parlimen.
“Tetapi disebabkan saya ada di luar dan hendak balik, mereka dari Parlimen ada hubungi saya di telefon, mereka bagi tahu akan undi sekejap lagi, mereka hubungi saya tiga minit sebelum mengundi.
“Jadi saya tidak sempat masuk ke Parlimen kerana, Ramadan ini banyak kenderaan di jalan raya. Jadi, saya tidak sempat,” jelasnya.
Larry Sng menegaskan bahawa beliau berada di kawasan Parlimen hampir sepanjang hari berkenaan dan ketidakhadiran itu bukan disengajakan, sebaliknya berlaku akibat kekangan masa untuk kembali ke Parlimen sebelum undian dijalankan.
Oleh ADENG EDRUS dan EARL ANEK