KUCHING: Simulasi Program Vaksinasi Sarawak atau ‘Dry Run’ yang dijalankan di sini baru-baru ini berjalan dengan lancar.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, program tersebut dilaksanakan dengan teliti dan mengikut jadual yang disediakan.
“Program vaksinasi ini dijalankan dengan amat teliti dan ia termasuklah penyediaan fasiliti yang selesa yang dilengkapi kawasan menunggu yang luas untuk klien selepas menerima vaksin.
“Penyediaan fasiliti yang baik dan selesa disediakan bagi memudahkan urusan klien yang menerima vaksin ini.
“Justeru, bagi menjayakan agenda ini, kita memerlukan ruang yang luas dengan fasiliti yang baik supaya ia mempercepatkan segala urusan berkaitan vaksinasi ini,” katanya, semasa melakukan lawatan ke pusat vaksinasi Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, baru-baru ini.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa pusat vaksinasi ini juga akan dibina di kawasan pedalaman di Sarawak.
“Pusat vaksinasi juga akan dibina di kawasan pedalaman bagi memudahkan dan mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat di pedalaman dan luar bandar.
“Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar dan pelaksanaan ini akan lebih mencabar sekiranya tiada pusat vaksinasi disediakan di lokasi yang terletak jauh di pedalaman.
“Oleh yang demikian, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah membuat perancangan untuk membangunkan pusat vaksinasi di kawasan terlibat bagi mempermudahkan urusan ini,” jelas beliau.
Oleh RYNNA SHA’ERRA