KALAULAH ibarat drama bersiri di kaca televisyen, sudah pasti situasi politik seberang Laut China Selatan mendapat kutipan ‘box office’. Bayangkan, pelbagai isu tercetus sebelum hari penamaan calon Sabtu ini, untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Drama ini bermula sejak Parlimen dibubar.
Hakikatnya, sejak selepas PRU-14 sepanjang empat tahun lalu, politik ‘dentum mendentum’ itu tidak pernah sunyi. Kini, dentuman itu bercampur gelora bagaikan gelombang di laut yang tak pernah tenang, dikhuatiri berpanjangan selepas PRU-15 nanti.
Jika keputusan tergantung 50-50 di Semenanjung pada malam 19 November nanti, maka ia bakal menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi memainkan peranan ‘king maker’. Kita tunggu dan lihat. Ini kerana pergolakan politik di Semenanjung semakin membara, berpecah-belah, tikam belakang sesama sendiri.
Mereka bagaikan lupa sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada 1511 yang harus menjadi menjadi satu iktibar kerana jelas rasuah dan pengkhianatan boleh melemahkan sesebuah kerajaan serta meruntuhkan ketamadunan bangsa.
Kini, krisis dalaman, keluar parti, pecat ahli – semuanya menjadi watak ‘menghidupkan’ siri drama politik di sana. Ini berlaku membabitkan hampir semua parti sama ada parti gabungan dalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti lain.
Malah dengan pengumuman senarai calon BN di ibu negara malam kelmarin, pastinya akan terus berkocak, menambahkan babak ‘berkecamuk’ dalam drama politik yang bagaikan tiada noktah.
Ada bakal calon menarik diri setelah kurang 12 jam diumumkan, sekali gus membayangkan seperti tiada rundingan teliti dibuat. Contohnya, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut.
Sudah semestinya, penyandang kerusi Parlimem yang tidak disenaraikan sebagai calon, akan terus mengamuk.
TUTUP BILIK GERAKAN
Contohnya, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan oleh BN dilaporkan akan meneruskan hasrat bertanding. Beliau adalah antara empat menteri yang digugurkan daripada senarai calon BN.
Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sudah terhidu berita bakal digugurkan sehari sebelum pengumuman apabila bilik gerakan di kawasannya di Arau, Perlis ditutup dan bendera parti diturun semula setelah dinaikkan sebaik Parlimen dibubar.
Tetapi semalam, PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan mencalonkan Shahidan mempertahankan kerusi Parlimen Arau.
Malah, ada kalangan ahli politik wanita yang jarang bersuara selama ini, tiba-tiba turut ‘meroyan’. Contohnya, penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid tampil mempertikaikan mengenai janji pucuk pimpinan BN mengenai kuota calon daripada pergerakan wanita UMNO.
Mastura yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) tampil membangkitkan perkara itu melalui hantaran di Facebook malam kelmarin. “Janji 30 peratus calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan,” tulisnya.
Di kawasan Parlimen Jempol, Negeri Sembilan, 13 bilik gerakan UMNO cawangan ditutup. Tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan rasa tidak puas terhadap bakal calon kerusi Parlimen Jempol yang dikatakan bukan orang pilihan.
Jempol adalah antara enam kerusi Parlimen BN yang calonnya belum diumumkan. Tetapi menurut sumber, calon bagi enam kerusi itu belum diumumkan kerana menunggu siapa calon ditampilkan pihak lawan khususnya daripada PN selain cubaan terakhir meredakan pergolakan dalam isu pemilihan calon.
Malah ada yang secara terbuka mengisytiharkan diri mahu bertanding sebagai calon Bebas kerana tidak dipilih partinya. Contohnya, penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack bertekad mahu tanding sebagai calon Bebas setelah DAP memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara sebagai calon.
Wong dikatakan dicadang oleh DAP untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands. “Sejak empat tahun lalu saya telah menjalankan tugas saya sebaiknya untuk rakyat di Bentong. Bentong adalah kampung saya dan saya komited untuk terus berkhidmat untuk rakyat di sini. Kita di sini ingin mewujudkan platform untuk kuasa rakyat,” katanya seperti dilaporkan media.
KELUAR PARTI
Ada yang keluar parti kerana tidak dicalonkan di tempat asal seperti diidamkan. Contohnya, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti serta-merta kerana kecewa tidak dapat bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu di Melaka dan enggan ditawarkan bertanding di Bagan Datuk, Perak yang ditandingi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ada yang tidak puas hati sebab parti tertentu dalam gabungan diberi kerusi bukan idamannya. Contohnya, tindakan PH menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Apabila tidak dipilih sebagai calon, akan ada yang mendakwa tidak adil seperti dilakukan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang mendakwa ramai pihak kecewa dengan senarai calon yang diumumkan oleh kepemimpinan PKR.
Lebih malang, ada sebuah parti yang kelihatan ‘berkecai sebelum perang’ iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) apabila Datuk Larry Sng Wei Shien dan Datuk Zuraida Kamaruddin masing-masing mendakwa sebagai presiden.
Kemelut ini jika tidak diselesaikan secara dalaman dalam tempoh 24 jam ini, akan menyukar mereka bertanding kerana calon PBM perlu mengemukakan surat watikah calon yang ditandingi presiden parti yang sah, pada pagi penamaan calon Sabtu ini.
Bagaimanapun, kemelut itu berjaya diselesai apabila Zuraida dan Larry Sng berkunjung ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pagi semalam. Kata putus dicapai iaitu Larry Sg akan menandatangani watikah calon yang bertanding.
Adakah semua ini tidak berlaku di Sarawak dan Sabah atau belum berlaku lagi? Di Sabah, ada kalangan ADUN tidak berpuas hati dengan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GPS) untuk bekerjasama dengan BN.
Setakat ini, drama kontroversi yang boleh menggegarkan kestabilan politik tidak berlaku di Sarawak. Jika ada sekalipun, dentumannya tidak sehebat seperti apa yang berlaku di Semenanjung.
SARAWAK
Cuma ada dua peristiwa pahit berlaku di Sarawak. Krisis terbesar pada 1966, berikutan krisis politik hingga membawa kepada krisis perlembagaan membabitkan kepemimpinan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri ketika itu. Kemudian pada 1987, tercetus krisis Ming Court sehingga BN menang tipis di pilihan raya negeri.
Peristiwa ‘Ming Court’ adalah rampasan kuasa politik yang bermula pada 1983, berkembang menjadi krisis politik penuh semasa pilihan raya negeri 1987, dan berakhir selepas Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) dibubarkan pada tahun 1991.
Peristiwa itu kemudian dikenali sebagai peristiwa ‘Ming Court’, mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur – tempat berkumpulnya sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sarawak untuk menjatuhkan Ketua Menteri ketika itu, Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud. Abdul Taib terpaksa membubar DUN lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis.
BN hanya menang 28 daripada 48 kerusi dalam dewan undangan negeri. Bagaimanapun, populariti BN Sarawak telah menurun daripada 59.17% pada 1983 kepada 55.24% pada pilihan raya 1987. SNAP adalah mangsa terbesar dalam pilihan raya itu dengan hanya memenangi 2 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan. Sementara itu, kumpulan Maju memenangi 20 kerusi (15 kerusi oleh PBDS dan 5 kerusi oleh PERMAS).
Tun Abdul Rahman Yaakub (PERMAS) mudah dikalahkan oleh Dato Sri Wahab Dolah (PBB) di kerusi Matu-Daro (kini DUN Jemoreng) dengan majoriti 1,625 undi ketika itu.
Sejak itu, politik Sarawak stabil dan kembali tenang. Meskipun ada tentangan daripada parti pembangkang, parti pemerintah tidak goyah dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Diharap apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan secara rasmi calon hari ini, drama ‘merajuk’ kerana tidak dipilih tidak berlaku kerana ia berpotensi mencetuskan tindakan sabotaj di dalam parti sendiri.
Tetapi kata orang, mustahil dalam sesebuah parti politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang, tidak berkocak tetapi sesetengah parti bijak dan cepat ‘memadam’ kocakan kecil melalui rundingan, bertolak ansur dan saling memahami.
Ini tidak berlaku pada kebanyakan parti politik di Semenanjung. Tidak hairan permainan ‘tikam dari belakang’ sesama sendiri tercetus. Ibarat dalam perang, tembak rakan sendiri, bukan secara kebetulan tetapi sengaja.
Meskipun sesetengah parti menggunakan konsep WALI dalam memilih calon, akan ada yang tidak puas hati. Namun, bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. WALI adalah bermaksud ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi).
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak