BALIK PULAU: Draf Rang Undang-undang pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway), telah siap dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beberapa sesi libat urus juga akan dilaksanakan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak berkepentingan lain sebelum dibentang dalam Kabinet.
“Apa yang berlaku baru-baru ini dalam mesyuarat Kabinet, saya membentangkan bersama Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) satu Memorandum Jemaah Menteri terkait dengan kemelut latihan kepakaran atau parallel pathway.
“Di luar negara ada 14 program, 29 program Sarjana Perubatan dijalankan sembilan universiti tempatan dan kesemua itu kita garapkan sekali selepas KKM (Kementerian Kesihatan) berdepan dengan pelbagai kontroversi dan akhirnya merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Air Putih di sini hari ini.
Beliau berkata pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang akan datang dan dibahaskan.
Isu parallel pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Ia selepas MMC menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.
UiTM merupakan universiti tunggal di negara ini yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotoraks.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly memaklumkan kesemua 194 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diberikan tempoh 10 bulan bagi meneliti pindaan bersasar terhadap Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) yang dipersetujui di Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) di Geneva, Switzerland pada 1 Jun lepas.
“Apapun yang kita tandatangani baru-baru ini bukan satu bersifat final atau muktamad dan akan kembali diteliti dalam beberapa lagi siri perjumpaan antara negara anggota. Jadi semua (negara) bawa balik draf yang kita telah meterai untuk diperhatikan, diberikan 10 bulan untuk membuat apa-apa maklum balas dan pandangan,” katanya.
Dzulkefly telah mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva untuk WHA77 yang antaranya membincangkan perkembangan rundingan bagi Pindaan Bersasar IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik. – Bernama