
PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi tujuh anggota Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersatu Sarawak (ACCCIS) yang diketuai Presidennya, Kong Chiong Ung, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Kunjungan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar terkini kerajaan negeri serta keutamaan pembangunan ekonomi Sarawak, selain memahami dengan lebih mendalam usul-usul utama yang sedang dibahaskan dalam persidangan DUN ketika ini, termasuk perkembangan jangka panjang pembangunan negeri.
Dalam sesi berkenaan, Dr. Sim menjelaskan beberapa perkara penting yang dibentang dan dibahaskan dalam DUN, antaranya Belanjawan Sarawak 2026, pelaksanaan levi karbon ke atas sektor minyak, gas dan tenaga bermula tahun depan, serta kelulusan Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025.
Beliau turut menyentuh dasar-dasar lebih luas berkaitan pembangunan jangka panjang negeri merangkumi trend pendidikan, perubahan demografi, agenda perumahan mampu milik dan pelbagai perkara lain yang menjadi fokus kerajaan negeri.
Menurutnya, siri inisiatif dasar yang sedang digerakkan melalui persidangan DUN ketika ini bertujuan mempertahankan hak Sarawak, mengukuhkan autonomi fiskal serta memastikan pengagihan sumber yang adil dan mampan bagi membolehkan negeri ini melangkah ke hadapan dengan lebih stabil, berdaya saing dan progresif.
Hadir sama Naib Presiden, Dato Tan Jit Kee dan Dato’ Dr. Ngu Piew Seng, Timbalan Setiausaha Agung, Andy Yek Hock Siang, Bendahari, Noel Yek Nae Shiuan serta Ahli Majlis, Fam Khing Foh dan Lai Chau Liang.
Oleh Shikin Mahmud