
PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penghargaan Ahli Lembaga Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) bagi sesi 2025–2027 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Antara yang menerima pelantikan semula ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, bersama pelantikan baharu beberapa ahli lembaga lain.
Dalam kenyataannya, Dayang Noorazah berkata sebanyak 3,500 unit rumah mampu milik telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12, 2021–2025) manakala 20,000 unit lagi akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030, selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, pembangunan perumahan mampu milik merupakan tonggak penting dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan mempercepat kemajuan negeri.
Majlis turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ahli Lembaga HDC, Edwin Banta dan Dr. Richard Tan Yoke Seng atas khidmat cemerlang serta sumbangan mereka dalam memperkukuh hala tuju pembangunan perumahan di Sarawak.
“Segala komitmen dan idea bernas mereka amat dihargai dalam memacu agenda kesejahteraan rakyat,” jelas Dayang Noorazah.
Oleh Adi Safarman