
SIBU: Bahang kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina semakin terasa apabila Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian turun padang menyantuni peniaga serta pengunjung di Pasar Sentral Sibu menerusi program tinjauan mesra, hari ini.
Program tersebut bertujuan untuk mendekati peniaga dan orang ramai di pasar awam itu, selain menyampaikan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat yang meraikannya.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut meluangkan masa bersarapan pagi bersama ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Gerai Lai Heung Cafe, yang dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta bertukar pandangan dalam suasana santai.
Dalam pada itu, para peniaga dan pengunjung tidak melepaskan peluang berinteraksi dengan para wakil rakyat selain merakamkan gambar kenangan sebagai tanda keakraban.
Dr Sim yang juga Presiden SUPP turut diiringi oleh Timbalannya, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting serta Ketua Pemuda SUPP Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.
Oleh Akun Giman