Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Dr Sim: Rumah terbuka cerminkan pembangunan inklusif Sarawak
  • SEMASA

Dr Sim: Rumah terbuka cerminkan pembangunan inklusif Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
DR. Sim Kui Hian ditemui media selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Utama, BCCK, hari ini.

PETRA JAYA: Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Utama, Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) hari ini mencerminkan wajah sebenar pembangunan inklusif negeri ini apabila ribuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang hadir memeriahkan majlis dalam suasana penuh harmoni.

Timbalan Premier Sarawak, Dr. Sim Kui Hian berkata, Premier Sarawak sering menekankan bahawa sambutan perayaan utama di negeri ini seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Hari Gawai merupakan gambaran jelas keharmonian serta pembangunan menyeluruh yang dinikmati rakyat.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyifatkan kehadiran masyarakat tua dan muda, termasuk komuniti Cina, Melayu serta kaum lain yang tampil dengan busana tradisional masing-masing sebagai simbol kekuatan perpaduan Sarawak.

DR. Sim Kui Hian beramah mesra bersama rakyat pelbagai kaum pada Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching, hari ini.

“Inilah wajah terbaik Sarawak. Rumah terbuka melambangkan Sarawak pada tahap terbaik kerana ia benar-benar terbuka, anda tidak perlu dijemput untuk hadir,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.

Menurut beliau, budaya saling mengunjungi ketika musim perayaan memperkukuh hubungan silaturahim dan menjadi asas penting pembangunan negeri.

“Ke mana sahaja anda pergi ketika musim perayaan, anda akan disambut dengan mesra. Pembangunan bermaksud kita bersatu dan saling membantu untuk menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik,” ujarnya.

Dr Sim turut menegaskan bahawa dalam suasana dunia yang semakin individualistik dan berdepan polarisasi politik, perpaduan menjadi kunci kemajuan. Katanya, ramai di seluruh negara memerhati Sarawak sebagai contoh bagaimana masyarakat berbilang kaum mampu duduk bersama, makan bersama dan mencari penyelesaian bersama.

Beliau menambah bahawa kekayaan semata-mata tidak mencukupi untuk membina sebuah negeri yang kukuh dan berkekalan.

“Kekayaan sahaja tidak membina negara. Pembinaan negara memerlukan nilai bersama serta rasa bangga terhadap anak Sarawak,” katanya.

Dr Sim turut memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy, yang menyeru rakyat agar bertanya apa yang boleh dilakukan untuk negara, bukan sebaliknya.

“Di Sarawak, ia berjalan dua hala. Apa yang negeri boleh lakukan untuk rakyat dan apa yang rakyat boleh lakukan untuk negeri,” jelasnya.

Mengulas kedudukan kewangan negeri, beliau berkata beberapa tahun kebelakangan ini amat kritikal memandangkan sebelum ini Sarawak berdepan kekangan untuk menyediakan kemudahan asas seperti hospital, sekolah dan infrastruktur.

Kini, dengan jangkaan hasil negeri sekitar RM15 bilion setahun yang boleh mencecah sekitar RM75 bilion dalam tempoh lima tahun, tanggungjawab kerajaan juga semakin besar untuk memastikan setiap keperluan rakyat dipenuhi secara berkesan.

“Jika dengan sumber sebegitu kita masih gagal memenuhi keperluan rakyat, itu bermakna kita tidak mengurus dengan baik. Sebab itu nilai perpaduan amat penting, bersatu, tidak bergaduh dan hidup harmoni bersama,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa bagi masyarakat Cina, perayaan bukan sekadar rumah terbuka tetapi juga pertemuan keluarga, dan menyifatkan sambutan hari ini sebagai pertemuan keluarga besar Sarawak yang harus terus dipelihara demi kesejahteraan bersama.

Oleh Shikin Mahmud & Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Lapangan Terbang Bintulu lokasi sambutan TBC sempena VM2026
Next: Sambutan Tahun Baharu Cina cerminkan perpaduan kukuh Sarawak 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.