
KUCHING: Isu penjagaan luka kini menjadi keutamaan dalam agenda kesihatan negeri Sarawak susulan peningkatan kes ulser kaki diabetes, sejajar dengan trend kebangsaan, kata Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng semasa merasmikan Persidangan 3rd D-Foot International Wound Conference 2025 yang berlangsung di Hotel Imperial Kuching, hari ini.
“Secara nasional, hampir satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, dan Sarawak tidak terkecuali daripada trend ini.
“Ramai pesakit mengalami ulser kaki diabetes, di mana 15 hingga 20 peratus daripada kes berakhir dengan amputasi anggota bawah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan kesan yang besar terhadap kehidupan, mata pencarian, dan keluarga pesakit.
“Oleh itu, penjagaan luka tidak lagi boleh dianggap sebagai isu sampingan, sebaliknya mesti menjadi fokus utama dalam sistem kesihatan negeri,” jelasnya.
Menurut Sim, Sarawak sedang bersiap siaga menghadapi cabaran ini dengan membangunkan sistem rawatan luka yang berfokuskan pesakit, digerakkan oleh komuniti, dan disokong oleh kepakaran profesional.
“Kita sedang melabur dalam latihan, menerima pakai teknologi baharu, dan membangunkan perkhidmatan rawatan luka yang inklusif serta mudah diakses semua lapisan masyarakat,” katanya.
Antara inisiatif utama termasuk memperluas program pengesanan awal dan saringan kaki di semua peringkat penjagaan kesihatan asas, memperkasakan petugas barisan hadapan dengan latihan dan alat terkini bagi pengurusan luka kronik, dan meningkatkan perkhidmatan rawatan luka berasaskan komuniti, terutamanya di kawasan luar bandar melalui pendekatan jangkauan serta sokongan teleperubatan.
Selain itu, kerajaan negeri akan menubuhkan Kumpulan Sokongan Rawatan Luka Sarawak, yang menghimpunkan pesakit, penjaga, penyedia perkhidmatan kesihatan, dan sukarelawan.
Kumpulan ini bertujuan berkongsi ilmu, meningkatkan pematuhan terhadap rawatan, serta memberi sokongan emosi dan sosial kepada pesakit.
“Kami percaya proses penyembuhan menjadi lebih berkesan apabila pesakit tidak merasa keseorangan dalam perjalanan mereka,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Sarawak turut membangunkan Laman Web Rawatan Luka Sarawak, sebuah platform digital komprehensif yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan rawatan luka berhampiran, sama ada di hospital bandar mahupun klinik luar bandar.
Platform ini juga menawarkan sumber latihan dan bengkel untuk profesional kesihatan, maklumat saluran rujukan dan perkembangan penyelidikan terkini, pendidikan awam mengenai pencegahan luka dan teknik penjagaan, dan kempen kesedaran berkaitan luka kronik seperti ulser kaki diabetes.
“Platform ini akan menjadi jambatan yang menghubungkan orang awam dengan perkhidmatan penjagaan serta membantu profesional kesihatan mendapatkan sumber yang diperlukan.
“Ini bagi memastikan bantuan sentiasa dalam capaian,” tambahnya.
Oleh Amanda L.