
KUCHING: Kadar bayaran kepada doktor swasta wajar dipertimbangkan semula, memandangkan kali terakhir ia dinaikkan adalah pada 1982.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kadar semasa tidak lagi setimpal dengan pengorbanan para doktor, terutama apabila sektor pekerjaan lain telah beberapa kali menerima kenaikan gaji minimum dalam tempoh tersebut.
“Seperti yang kita sedia maklum, kadar bayaran untuk doktor swasta sebenarnya tidak pernah dinaikkan sejak 1982. Malah, bayaran bagi doktor kanan juga kekal tidak berubah sejak itu.
“Jadi, adakah anda sanggup bekerja dengan kadar gaji yang ditetapkan lebih 40 tahun lalu?” soalnya.
Menurut Sim, beliau telah menyuarakan perkara ini kepada Menteri Kesihatan yang seterusnya memberi jaminan untuk meneliti isu tersebut dengan serius.
“Kalau kita lihat, berapa kadar gaji minimum pada 1982 dan berapa pula sekarang?
“Mengapa pula doktor yang telah berkorban bertahun-tahun, menjalani latihan intensif, belajar bersungguh-sungguh, dan bekerja tanpa mengira masa, masih dibayar mengikut kadar lama?” katanya lagi.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Klinik Perubatan Valiant di Batu Kawa, di sini, hari ini.
Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, semakan semula kadar bayaran ini penting bagi menarik lebih ramai doktor berbakat untuk kembali berkhidmat di tanah air selepas tamat pengajian mereka di luar negara.
“Sekiranya kita mahu mengekalkan bakat yang berkemampuan dan berpengalaman, kita tidak boleh terus membayar mereka dengan kadar 1982.
“Jika tidak, siapa lagi yang akan kekal berkhidmat bersama kita?
“Oleh itu, kami akan terus berusaha membantu anda dan berjuang demi kepentingan para doktor,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan terus berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) agar cadangan kenaikan bayaran ini dapat dipertimbangkan secara serius.