
BINTULU: Kerajaan disaran mewujudkan rangka undang-undang khusus bagi memantau dan mengawal aktiviti jual beli logam kitar semula susulan insiden kecurian pengubah atau ‘transformer’ dalam projek Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) di Ulu Sebauh.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kehilangan peralatan kritikal seperti pengubah bukan sahaja menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek, malah mengancam keselamatan penduduk luar bandar.
“Kerja-kerja pemasangan tiang dan kabel telah siap dan hanya tinggal sedikit proses pendawaian.
“Namun, pengubah utama telah dicuri menyebabkan projek tergendala dan keselamatan penduduk terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa II bagi kawasan DUN Kemena di Pejabat Pertanian Bahagian Bintulu, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, bahan tembaga yang terdapat dalam pengubah dipercayai menjadi punca utama kejadian kecurian berikutan wujudnya permintaan dalam pasaran logam kitar semula.
“Kegiatan ini berlaku kerana wujud pembeli. Selagi ada permintaan, selagi itu kecurian akan terus berlaku.
“Ini sama seperti jenayah pengedaran dadah di mana permintaan mencetuskan pasaran,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, kelemahan dalam aspek penguatkuasaan membolehkan pelaku jenayah terus berulang kali melakukan kesalahan tanpa dikenakan hukuman yang memberi kesan mendalam.
“Kita tidak boleh biarkan keadaan di mana seseorang masuk lokap hari ini, kemudian dibebaskan dan melakukan jenayah yang sama keesokan harinya.
“Penguatkuasaan mesti tegas dan berkesan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya diwujudkan sistem pemantauan ketat termasuk merekodkan identiti penjual dan pembeli logam serta lokasi transaksi sebagai langkah pencegahan.
Dr Rundi turut mengesyorkan penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV), sistem pengesanan Sistem Penentududukan Global (GPS) atau Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di tapak-tapak projek kerajaan bagi mengurangkan risiko kecurian.
“Di negara lain seperti China, pemantauan keselamatan sangat ketat dan hukuman terhadap kesalahan seperti ini amat berat.
“Kita juga perlu bergerak ke arah itu kerana ia melibatkan aset kerajaan dan keselamatan rakyat,” tegasnya.
Ujar beliau, perancangan teliti dalam pelaksanaan projek serta kerjasama erat antara agensi penguat kuasa, pemimpin tempatan dan komuniti amat penting bagi memastikan kemudahan awam dapat dipelihara daripada menjadi sasaran penjenayah.
Oleh Carolyne Utih