BINTULU: Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr. Maziah Che Yusof menyantuni dua individu kurang bernasib baik di Kampung Assyakirin Fasa 1 di sini, hari ini.
Kunjungan itu adalah sebahagian Program Ziarah Kasih sempena Kembara Kasih KPWKM 2024, yang bertujuan menjaga kebajikan warga emas.
Kedua-dua individu tersebut merupakan penerima bantuan Warga Emas sebanyak RM500 sebulan.
Dalam lawatan itu, Dr. Maziah diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Bagi lokasi pertama, mereka mengunjungi rumah Mani Ludong, 81, yang tinggal bersama dua anaknya, dan salah seorang anaknya merupakan orang kurang upaya dan tidak bekerja, sementara seorang lagi bergantung kepada pendapatan tidak menentu.
Keluarga berkenaan menetap di rumah yang ditumpangkan oleh jiran.
Seterusnya, mereka melawat Zanaida Zaini, 60-an, seorang warga emas OKU yang memerlukan penjagaan rapi dan bergantung kepada picagari untuk makan.
Zanaida tinggal bersama dua adik-beradik bujang tanpa pendapatan tetap.
Program itu bertujuan mendalami dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah warga emas, sekali gus memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan.