Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Dr Jeswant rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik AS
  • NASIONAL

Dr Jeswant rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik AS

Utusan Sarawak 8 hours ago
PROF Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon

KUALA LUMPUR:  Sejak lebih tiga dekad Prof Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon menghabiskan banyak masanya di bilik pembedahan mengendalikan antara kes pembedahan kardiotorasik paling kompleks di Malaysia, pada masa sama mengimbangi tuntutan sebagai pengamal klinikal, ahli akademik, penyelidik dan pembimbing profesional.

Awal bulan ini, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik di Institut Jantung Negara (IJN) itu menambah satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik Amerika Syarikat (AATS), sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia pembedahan kardiotorasik.

Diasaskan pada 1917, AATS merupakan sebuah organisasi terkemuka dunia dalam pembangunan kemahiran pembedahan kardiotorasik serta inovasi penjagaan pesakit.

Keahlian bagi persatuan itu sangat selektif, hanya terdiri daripada pakar bedah bertaraf antarabangsa yang telah menunjukkan kecemerlangan berterusan dan sumbangan besar dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

PROF Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik Amerika Syarikat (AATS), satu pengiktirafan tertinggi dalam bidang pembedahan kardiotorasik dunia.

Bagi Dr Jeswant pengiktirafan tersebut membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar gelaran profesional kerana ia mencerminkan komitmen serta dedikasi tidak berbelah-bahagi beliau dalam memajukan bidang pembedahan kardiotorasik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

“Pemilihan ini merupakan pengiktirafan terhadap pengorbanan bertahun-tahun yang dicurahkan dalam bidang ini, termasuk latihan selama beberapa dekad, tempoh kerja yang panjang dalam amalan klinikal dan akademik serta disiplin yang berterusan. Ia bukan sekadar gelaran yang dianugerahkan, tetapi lebih kepada pengiktirafan bahawa segala pengorbanan tersebut amat bermakna,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jeswant menerima latihan awal dalam bidang kardiotorasik di Institut Jantung Negara sebelum menjalani latihan fellowship lanjutan kardiotorasik di Mayo Clinic di Amerika Syarikat, sekali gus membina kerjaya yang meletakkan beliau antara pakar bedah kardiotorasik terkemuka di rantau ini.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di IJN, termasuk sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotorasik dari 2014 hingga 2019.

Beliau berkepakaran dalam pembedahan pembaikan dan penggantian injap jantung, pembedahan jantung invasif minimum, pembedahan pintasan arteri koronari, pembedahan pembetulan bagi anomali arteri koronari dan hypertrophic obstructive cardiomyopathy (HOCM), selain pembedahan torakoskopik berbantukan video (VATS).

Selain di bilik pembedahan, Dr Jeswant juga menyerlah dalam bidang akademik, pendidikan dan latihan dengan berkhidmat sebagai profesor adjung di Universitas Airlangga Indonesia dan Universiti Malaya, selain menjadi Pengerusi Subjawatankuasa Kepakaran Pendidikan (SSC-EDU) Pembedahan Kardiotorasik bagi Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti IJN (IJNUC).

Penglibatan aktif beliau dalam bidang akademik turut merangkumi sumbangan sebagai penulis dan pengulas editorial jemputan bagi jurnal perubatan antarabangsa berimpak tinggi yang melalui proses semakan rakan sejawatan, selain tampil sebagai penceramah di persidangan saintifik.

Selain itu, beliau merupakan Duta Sukan dan Kecergasan di IJN serta terlibat dalam pelbagai inisiatif perubatan sukan termasuk berperanan sebagai doktor pasukan bagi kontinjen berbasikal negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan ahli Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) serta Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (OCM).

Walaupun merupakan satu pengiktirafan antarabangsa, Dr Jeswant melihat pemilihan beliau dalam AATS bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi juga peluang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam komuniti kardiotorasik global.

“Saya percaya pengiktirafan ini membuka peluang penting untuk mengukuhkan hubungan antara AATS dan IJN melalui pertukaran akademik yang lebih mendalam, penyelidikan dan kerjasama klinikal, selain kepimpinan serantau dalam penjagaan kardiotorasik.

“IJN telah membangunkan kepakaran yang penting dalam penjagaan kardiovaskular dan torasik yang kompleks di Asia Tenggara, manakala AATS mewakili antara platform terkemuka dunia dalam inovasi pembedahan, pendidikan, penyelidikan dan kepimpinan,” katanya.

PROF Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik Amerika Syarikat (AATS), sekali gus mengharumkan nama negara dalam bidang pembedahan kardiotorasik di peringkat antarabangsa.

Sebagai Presiden Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia Malaysian (MATCVS), Dr Jeswant turut berharap pengiktirafan tersebut akan membuka lebih banyak peluang kepada pakar bedah muda Malaysia, menerusi bimbingan profesional, program fellowship, kerjasama antarabangsa dan peluang latihan khusus.

Beliau percaya rangkaian akademik dan penyelidikan yang lebih kukuh akan membolehkan Malaysia menyumbang dengan lebih aktif kepada kemajuan global dalam penjagaan kardiovaskular dan torasik, khususnya ketika bidang itu berkembang ke arah terapi invasif minimum, kecerdasan buatan (AI), perubatan ketepatan dan inovasi berasaskan tisu.

“Dengan menjadi penerima pertama bagi pengiktirafan ini di Malaysia, ia telah meletakkan negara dalam landskap kardiotorasik global. Saya berharap pengiktirafan oleh AATS ini dapat membantu meningkatkan lagi keterlihatan serta membuka laluan kepada pakar dan pelatih kardiotorasik Malaysia pada masa depan di pentas antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun bagi Dr Jeswant, masa depan pembedahan kardiotorasik perlu terus berteraskan pesakit bagi memastikan rawatan berkualiti tinggi dan berteknologi maju dapat diakses dengan lebih meluas oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.

Beliau berkata melalui kerjasama lebih kukuh antara institusi, persatuan profesional dan organisasi antarabangsa, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk muncul sebagai peneraju yang dihormati dalam bidang pembedahan kardiotorasik di rantau ini dan di peringkat global.- Bernama

Continue Reading

Previous: MoF beri amaran keras penggunaan MyKad orang lain tanpa izin bagi transaksi BUDI95
Next: Pemberian baucar buku RM100 bagi sekolah menengah dilaksana dalam masa terdekat – KPM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.