
SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berjanji menaja pemeriksaan kesihatan penuh untuk semua ahli Persatuan Wartawan Sibu (SJA) bagi memastikan tahap kesihatan mereka terpelihara.
Dr. Annuar berkata pemeriksaan kesihatan menyeluruh amat penting, khususnya bagi mereka yang berumur 35 tahun ke atas bagi mengesan lebih awal penyakit seperti darah tinggi, kolesterol, serta masalah hati dan buah pinggang.
“Jangan tunggu tahun depan, kita buat tahun ini. Jangan risau tentang pembiayaan, biar saya uruskan,” katanya ketika berucap pada majlis malam Apresiasi Media bersama SJA di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut berkongsi pengalamannya apabila sakit kepala yang disangka migrain rupa-rupanya berpunca daripada masalah tekanan darah tinggi serius selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sehubungan itu, beliau berkata wartawan juga perlu memberi keutamaan kepada kesihatan kerana kerjaya mereka menuntut komitmen tinggi dengan tugasan yang padat.
“Biar saya semak dengan Pusat Perubatan Rajang (RMC) untuk pakej pemeriksaan yang sesuai dan saya akan hubungi pihak persatuan. Itu janji saya malam ini untuk anda semua,” katanya sambil menambah beliau juga sedia melakukan pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) di kliniknya bagi ahli SJA yang memerlukan.
Sementara itu, Pengerusi SJA, Florence Nervyn berkata pihaknya bercadang melaksanakan kempen pemeriksaan kesihatan agar ahli lebih peka terhadap kesejahteraan diri, selain dapat menjalankan tugas dengan lebih sihat.
Katanya, insiden menimpa Penolong Setiausaha SJA, Andy Sabang yang diserang angin ahmar baru-baru ini menjadi peringatan bahawa tahap kesihatan wartawan tidak boleh dipandang ringan.
Florence turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Annuar atas sumbangan RM10,000 kepada SJA serta penganjuran Malam Apresiasi Media sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kebajikan wartawan.
Oleh Tarani Lanting