
SIBU: Sudut pembelajaran di rumah-rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka akan diaktifkan semula bagi memperkukuh pencapaian akademik murid luar bandar serta memupuk budaya membaca dalam kalangan penduduk rumah panjang.
Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, beliau akan meneliti semula keperluan pendidikan yang dibangkitkan oleh penduduk sebelum melaksanakan pendekatan yang lebih sesuai dan berkesan.
Menurutnya, program berkenaan pernah dilaksanakan sebelum ini di setiap rumah panjang dalam kawasan DUN Nangka.
“Sebanyak 500 buah buku yang diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum ini dipusingkan ke rumah-rumah panjang di DUN Nangka bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan murid.
“Maksudnya saya ada satu tong buku yang disimpan di setiap rumah panjang, selepas dua atau tiga minggu, buku-buku tersebut akan dipusingkan ke rumah panjang lain.
“Kali ini kita bercadang akan memberi insentif kepada rumah panjang yang paling banyak membaca buku. Buku-buku ini saya peroleh dari Kuala Lumpur dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dulu kita juga ada mengadakan kelas tuisyen di setiap rumah panjang, tapi saya akan ubah sedikit caranya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa kunjungan Hari Gawai Dayak di Rumah (Rh) Ba’ie Bundan, petang tadi.
Menyentuh mengenai pembangunan di rumah panjang berkenaan, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka mengimbau usaha menaik taraf kemudahan yang dilaksanakan secara berperingkat hasil kerjasama erat antara penduduk dan tuai rumah.
“Sebahagian besar pembinaan dilakukan oleh penduduk sendiri, manakala kita membantu menambah baik kemudahan seperti ruai dan kawasan auning di luar rumah panjang,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan perancangan pembinaan tandas awam di rumah panjang tersebut pada tahun depan sebagai sebahagian usaha meningkatkan kemudahan asas penduduk.
Terdahulu, beliau memaklumkan telah mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Rh Jawin serta RM30,000 bagi kerja-kerja baik pulih tadika di rumah panjang berkenaan.
Dr Annuar berharap semua tuai rumah dalam kawasan DUN Nangka terus memberikan kerjasama bagi memastikan setiap program dan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Turut hadir, Penghulu Eddy Jemat, Penghulu Teo Nging Poh serta tetamu lain.
Oleh Akun Giman