
BINTANGOR: Pertandingan Double Dart Open Zon Tengah Sarawak 2025 mampu mengukuhkan semangat kesukanan dalam kalangan belia, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab.
Katanya, pertandingan sukan seperti ini juga sangat penting dalam memperkukuh keharmonian sosial dan menggalakkan gaya hidup sihat.
“Selain itu, ia juga memberikan ruang kepada para peserta untuk menyerlahkan bakat dalam bidang sukan dart.
“Ia adalah satu platform terbaik untuk mencungkil bakat muda dalam permainan dart untuk Daerah Meradong pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan tersebit bertempat di Dewan Masyarakat Meradong, semalam.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana telah berjaya menganjurkan pertandingan tersebut.
“Syabas dan tahniah kepada Kelab Dart Meradong dan Persatuan Kebajikan Anak Asal Bintangor (PEKAAB) yang telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana komuniti dapat berganding bahu dalam menjayakan pertandingan besar seperti ini.
“Selain itu, saya percaya kejayaan pada hari ini adalah hasil daripada komitmen tinggi, kerja keras dan semangat sukarela semua pihak yang terlibat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau akan menyumbang geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM2,000 kepada Kelab Dart Meradong.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Penolong Pegawai Daerah Meradong, Sonia Hii dan Pengerusi Kelab Dart Meradong, Ibrahim Ahim.
Oleh Earl Anek