KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menjadi negeri terawal yang akan diberi suntikan dos penggalak kepada rakyatnya pada Oktober depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang serius.
“Kita mendapati bahawa kumpulan yang sedang mengalami gejala yang serius di hospital yang perlu dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kita akan mulakan pada Oktober depan apabila kita sudah siap dengan garis panduan dan juga garis panduan klinikal untuk dos penggalak,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam.
Bagaimanapun, Khairy tidak menolak kemungkinan dos penggalak itu kelak akan diberikan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat di masa akan datang.
Menurutnya, antara perkara yang akan disediakan dalam garis panduan klinikal adalah berkenaan dengan jenis vaksin
“Kita masih lagi sedang menilai sama ada jenis vaksin yang sama ataupun jenis vaksin yang berbeza dapat diberi. Kita hanya menggalakkan supaya mereka yang berisiko tinggi sahaja buat masa ini diberikan dos penggalak.
“Kalau dilihat di negara dengan amalannya sama juga, dos penggalak ini hanya diberi kepada yang warga emas dan juga mereka yang mempunyai komorbiditi yang serius,” katanya.
Jelasnya, untuk populasi umum beliau menyatakan bahawa tidak banyak atau tidak ada negara yang telah meluluskan untuk digunakan untuk semua.
“Malah, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengeluarkan hanya 65 tahun ke atas, jadi kita akan mengeluarkan garis panduan klinikal berdasarkan nasihat daripada pakar.
“Kita akan gunakan sumber yang ada pada ketika ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan dulu berbanding individu lain,” tambahnya lagi. Turut hadir, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak dan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr. Annuar Rapa’ee, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Mohd. Shafiq Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik, Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dato’ Dr. Mohamed Sapian Mohamed.
Oleh JEAKQLEYN YACHO