JUDE Bellingham yang berusia tujuh belas tahun menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya untuk Borussia Dortmund dalam kemenangan 5-0 ke atas kelab divisyen tiga Duisburg dalam pusingan pertama Piala Jerman semalam.
Bellingham, yang berpindah dari Birmingham City pada bulan Julai, hanya memerlukan 30 minit untuk membuka akaun beliau bersama Dortmund ketika dia menggandakan kelebihan pasukan Bundesliga Jerman itu setelah mendapat sepakan penalti daripada Jadon Sancho.
Thorgan Hazard menyempurnakan sepakan percuma untuk menjadikannya 3-0 ketika pemain pertahanan Duisburg, Dominic Volkmer dibuang padang kerana menjatuhkan Erling Haaland.
Pemain antarabangsa Bawah 21 tahun England, Bellingham dikeluarkan ketika rehat sebelum seorang lagi pemain remaja Gio Reyna menambah gol keempat untuk Dortmund menerusi satu lagi sepakan percuma.
Kapten kelab, Marco Reus membuat penampilan pertamanya sejak Februari berikutan kecederaan, menjaringkan gol dalam beberapa saat setelah dimasukkan sebagai pemain gantian untuk melengkapkan pesta gol Dortmund.
Penyandang gelaran Bayern Munich akan bermain menentang kelab divisyen lima FC pada pertengahan Oktober setelah juara Liga Juara-Juara UEFA diberi rehat tambahan berikutan kemenangan mereka di Lisbon.
Perlawanan Schalke menentang Schweinfurt ditangguhkan setelah mahkamah memutuskan pasukan divisyen empat itu tidak seharusnya berada dalam pertandingan. – AFP