
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie telah menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada seorang penduduk, Lenny Liam dari Rumah Jang Aken, Kampung Ibol, semalam sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan.
Kerusi roda itu telah diterima oleh suami Lenny iaitu Peddy Kapil yang hadir ke Pusat Khidmat Parlimen P.202 Sri Aman bagi mewakili isterinya yang tidak dapat hadir.
Doris berkata sumbangan tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan beliau terhadap keperluan dan kebajikan rakyat, khususnya golongan yang berdepan dengan cabaran kesihatan dan memerlukan sokongan peralatan perubatan.
“Sumbangan ini diharap dapat memudahkan pergerakan harian Lenny di rumah serta membantu keluarga beliau dalam menguruskan penjagaan seharian dengan lebih selesa dan efisien
“Semoga sumbangan kecil ini memberi manfaat dan menjadi dorongan kepada Lenny untuk terus kuat menghadapi ujian,” katanya.
Doris turut menyampaikan harapan agar Lenny diberi kekuatan serta kesembuhan yang berterusan dan mendoakan kesejahteraan seluruh keluarga.
Beliau menegaskan bahawa Pusat Khidmat Parlimen P.202 Sri Aman sentiasa terbuka untuk mendengar keperluan rakyat dan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka yang memerlukan, mengikut keutamaan dan kemampuan.
Oleh Adi Safarman