SIMANGGANG: Dato Sri Doris Sophia Brodie melakar sejarah baharu setelah muncul sebagai Ahli Parlimen wanita berketurunan Dayak yang pertama di Dewan Rakyat pada hari ini.
Beliau berjaya menewaskan tiga calon lawan bagi merebut kerusi Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan 4,039 majoriti undi atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Tiga calon yang turut bertanding merebut kerusi itu adalah Wilson Entabang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Naga Libau@ Tay daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dato Masir Kujat sebagai calon Bebas.
Doris memperoleh 14,131 undi, diikuti Wilson (10,092 undi), Masir (5,673 undi) dan Naga Libau@Tay (2,021 undi).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Sri Aman, Elvis Didit mengumum keputusan berkenaan di pusat penjumlahan undi di Stadium Tertutup Sri Aman pada jam 10.45 malam.
Doris ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pemilih di Parlimen Sri Aman kerana telah menyokong dan memberi kemenangan.
“Saya akan terus bekerja lebih keras lagi bagi memastikan kawasan Parlimen Sri Aman terus pesat membangun dan membela kebajikan hidup mereka dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Kemenangan ini secara tidak langsung membolehkan GPS merampas kembali kerusi Parlimen Sri Aman daripada penyandangnya iaitu Masir Kujat.
Oleh VALENTINE NGUMBANG