DALAM politik, sokongan politik sangat dinamik, iaitu boleh meningkatkan populariti arus besar. Sokongan mampu melonjak dengan mainan sentimen yang dilakukan tepat pada masa, ketika dan tempatnya. Namun sokongan juga boleh menjunam dengan drastik tanpa dijangka. Perkara ini boleh berlaku dalam mana-mana parti politik. Inilah paling dibimbangi oleh orang dan parti politik.
Bagi meneruskan kerelevanan parti sudah pasti pelbagai strategi dilakukan terutama bagi parti yang kalah atau gagal membentuk kerajaan. Antaranya ialah dengan mendakwa parti mereka akan berjaya tumbangkan kerajaan. Tujuan ini dilakukan adalah untuk memastikan sokongan yang dimenangi dahulu tidak hilang, terjejas atau semakin merudum.
Lebih-lebih apabila parti mereka sejak dari awal lagi mendakwa parti dan komponen mereka ‘sudah cukup jumlah’ dan mempunyai ‘sokongan yang melebihi daripada cukup’. Penyokong yang setia atau walak apabila diberikan harapan yang besar dengan sabar terus menaruh harapan. Lebih-lebih lagi parti yang terkenal dengan sifat walak terus setia menanti untuk pertukaran kerajaan.
Tarikh Ogos
Pembangkang menggunakan dakyah menyebarkan kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam masa terdekat sejak awal Mac 2023. Gabungan Perikatan Nasional (PN) kata Hadi Awang berhak untuk merancang aktiviti menumbangkan Kerajaan Perpaduan (Astro Awani, Mac 2023). Sejak itu, Hadi Awang dan sekutunya bermain isu kerajaan akan tumbang.
Mula-mula dikatakan Mei, Jun, Julai hinggalah dikatakan akhir Ogos. Namun dari bulan ke bulan, dari musim durian hingga musim rambutan tidak juga berlaku. Mula-mula penyokong mereka diyakinkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), kerajaan akan bertukar. Walaupun sebenarnya, tidak ada kaitan kemenangan PRN boleh mengubah Kerajaan Persekutuan, namun pengikut PN tetap diyakinkan bahawa ia tidak mustahil boleh berlaku. Namun realitinya, tidak ada berlaku peralihan kuasa!
Apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemamam berlangsung, maka sekali lagi penyokong PN diyakinkan oleh pemimpin mereka bahawa calon PRK mereka ialah bakal Perdana Menteri, maka perlu disokong dan diberikan kemenangan. Realitinya, kemenangan calon PRK dan Menteri Besar Terengganu tersebut tidak dapat mengubah kerajaan yang ada. Malah selepas episod kemenangan PRK pula tidak ada pula nama Shamsuri disebut sebagai calon Perdana Menteri.
Bubar parti?
Pada satu tahap dalam kenyataan politik, Presiden PAS Hadi Awang berkata, beliau akan bubarkan PAS dan leraikan PN sekiranya Kerajaan Perpaduan mampu kekal lebih daripada tiga bulan. Namun sudah lebih 10 bulan kenyataan tersebut dibuat oleh Hadi dan Kerajaan Perpaduan terus teguh dan tidak tumbang. Tidak kedengaran pula Hadi Awang bubarkan PAS kerana kegagalan tersebut. Ternyata, kenyataan itu lebih bersifat kenyataan politik Hadi Awang yang secara terdesak mahu penyokongnya mempercayai kata-katanya ketika itu. Penyokong PAS sebenarnya termakan propaganda pemimpin mereka dan inilah yang berlaku meskipun kepemimpinan mereka tidak ada rekod memerintah dengan cemerlang.
Langkah Dubai yang longlai
Pada penghujung Disember tahun lepas, dihebohkan pula kononnya akan ada perubahan kerajaan. Dikatakan sokongan di pihak pembangkang sudah meningkat dan ada wakil rakyat di pihak kerajaan menyokong penubuhan kerajaan baharu. Seperti biasa berita palsu ini cepat tersebar kerana ia bersifat sensasi.
Hakikatnya, ini tidak lebih daripada propaganda berterusan pihak pembangkang untuk terus mengalih perhatian bahawa pembangkang tidak ada isu besar yang dibawa. Cuma mengharapkan kerajaan jatuh dan mereka boleh ambil alih kerajaan.
Realiti politik
Hakikatnya, propaganda berterusan dan cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ‘Langkah Dubai’ disifatkan sebagai hanya tindakan yang membuang masa, ibarat mimpi di siang hari kerana hampir mustahil direalisasikan dalam masa terdekat.
Hal ini kerana jika usaha itu benar-benar wujud, ia masih sukar dilaksanakan kerana tiga sebab, termasuk penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti bermula 5 Oktober tahun lalu.
Faktor kedua ialah sebarang pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri mestilah dibuat menerusi undi tidak percaya yang wajib mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Sokongan majoriti
Pembangkang berada dalam keadaan sukar untuk menang undi tidak percaya kerana kerajaan pimpinan Anwar kini memiliki sokongan majoriti lebih dua pertiga termasuk lima wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang beralih arah.
Bermakna terdapat 148 Ahli Parlimen ditambah lima, menjadikannya 153 Ahli Parlimen menyokong Kerajaan Perpaduan.
Malah dijangka sokongan ini akan meningkat selepas Februari tahun ini kerana tujuh hingga lapan Ahli Parlimen dijangka akan menyokong Kerajaan Perpaduaan.
Sokongan ini dilakukan kerana mereka mulai kurang yakin bahawa Perikatan Nasional dapat memenuhi keperluan rakyat kerana berdepan dengan masalah peruntukan kawasan. Sikap PN yang tidak mahu berunding dengan Kerajaan Perpaduan berkenaan peruntukan menjadikan mereka lebih kecewa.
Yang di-Pertuan Agong
Perancangan dan perbincangan untuk menukar kerajaan adalah sangat sukar lebih-lebih lagi sepanjang Januari hingga Februari 2024 adalah tempoh peralihan kuasa antara Yang di-Pertuan Agong sekarang kepada penggantinya.
Justeru, fokus utama negara sekarang ialah proses peralihan kuasa antara Yang di-Pertuan Agong dan penggantinya, bukannya pertukaran Kerajaan Persekutuan menerusi Langkah Dubai atau proses tebuk atap lain.
Mimpi politik
Berdasarkan situasi ini, maka Langkah Dubai adalah ibarat ‘mimpi’ dan diatur oleh pemimpin tertinggi parti tanpa pengetahuan dan pembabitan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang lain kecuali kelompok tertentu yang hanya membincangkan, namun tiada kemampuan melaksanakan dengan jaya.
Sebelum ini, Langkah Dubai itu dikatakan turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun, selain sumber asing akan digunakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan cara memberi sogokan kepada Ahli Parlimen kerajaan.
Langkah tersebut didakwa usaha terakhir mereka sebelum Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menamatkan khidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari ini dan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Namun sehingga ini tidak ada kesahihan yang pasti, kecuali cerita-cerita politik berlegar di media sosial, dimainkan oleh cybertrooper pembangkang yang kadang-kala terdapat segelincir pemimpin kerajaan terpengaruh dengan dakyah ini.
Risiko tinggi
Langkah Dubai juga sukar menjadi kenyataan berikutan majoriti Ahli Parlimen UMNO takut untuk menyatakan sokongan kepada PN kerana mereka bimbang kehilangan status wakil rakyat di samping khuatir akan disaman RM100 juta susulan tindakan melanggar keputusan parti.
Pasti tidak rasa ada Ahli Parlimen UMNO-BN akan melompat parti kerana mereka tiada sumber kewangan mencukupi untuk membayar saman RM100 juta kepada parti, selain mustahil kerjaya sebagai wakil rakyat membolehkan mereka mengumpul kekayaan sebanyak itu.
Bagi broker politik atau taikun pula walaupun kemungkinan ada kemampuan untuk berbelanja ratusan juta, namun selagi tidak jaminan akan berjaya hasilnya, tidak ada yang sanggup menanggung risiko setinggi itu. Sudah pasti agensi seperti SPRM, Lembaga Hasil dalam Negeri, memantau situasi ini dan penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) akan dikenakan jika ini benar-benar berlaku.
Berdasarkan ini, adalah lebih baik semua Ahli Parlimen untuk memberi fokus kepada usaha membantu rakyat termasuk lebih 10,000 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu daripada melancong dan bermesyuarat di Dubai sekadar untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Tambahan pula Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdiri kukuh menyokong Kerajaan Perpaduan.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).