
KUALA LUMPUR: Kumpulan pop popular Malaysia, Dolla kembali dengan single terbaharu berjudul MWA! yang mencerminkan kematangan perjalanan trio yang sudah enam tahun mewarnai industri muzik tempatan.
Lagu MWA! ciptaan Chelsea Warner, Gaston, Roland Lim Shi Jie serta tiga anggota Dolla sendiri iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel, menampilkan bunyi segar dan eksperimental yang dijangka mampu menarik perhatian peminat.



DOLLA dianggotai oleh Tabby, Sabronzo dan Angel. Foto BERNAMA
Menurut Angel, mereka berasa sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan pasukan kreatif itu kerana peluang meneroka idea muzik baharu yang lebih mencabar dan menyeronokkan.
“Selepas setahun kami tidak keluar dengan single dek sibuk dengan konsert dan beberapa projek lain, tahun ini kami berjaya keluarkan MWA! untuk peminat kesayangan kami. Lagu ini seperti rebranding our identity.
“Sesi rakaman juga sangat lancar, kami banyak bereksperimen dengan pelbagai bunyi dan struktur serta penglibatan terperinci semua ahli Dolla kali ini menjadikan proses kreatif lebih bermakna,” katanya pada sidang media selepas pelancaran single berkenaan di Bukit Bintang di sini.

Video muzik rasmi MWA! berdurasi dua minit 20 saat yang diarahkan oleh Jasmine Wong juga menampilkan kelainan berbanding video muzik yang dihasilkan sebelum ini, sekali gus bakal membawa penonton menyelami naratif aksi dan ilusi yang mendebarkan daripada Dolla.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai video muzik itu, Angel berkata setiap anggota Dolla membawakan watak tersendiri dengan Sabronzo muncul sebagai pemain kad, Tabby sebagai dalang utama, manakala dirinya sebagai pejuang tangkas dan berani.
“Konsep kali ini lebih liar dan ‘unhinged’ sangat berbeza dengan apa yang pernah kamii hasilkan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Tabby mengatakan MWA! merupakan permulaan kepada pelbagai karya baharu yang akan dibawakan Dolla sepanjang tahun ini.
“Kami anggap tahun ini sebagai ‘tahun lagu Dolla’ kerana banyak lagi lau akan dilancarkan. Kami tidak sabar untuk membawanya ke pentas dan berharap ia dapat menarik lebih ramai pendengar kerana lagu ini sangat segar dan berbeza,” katanya. – Bernama