
KUCHING: Hasil dokumentasi bangunan bersejarah di Sarawak perlu diterbitkan dalam bentuk digital atau teknikal dan disimpan dalam arkib negeri sebagai rujukan masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah itu penting bagi kegunaan perancang bandar, jabatan warisan serta penyelidik akademik dalam usaha memelihara tinggalan sejarah negeri ini.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Pendidikan MEITD, Donald Henry Nohed semasa merasmikan pameran “Timeless Treasures: The Legacy of Old Hokkien School and Darul Kurnia” di Plaza Merdeka, petang tadi.
Katanya, pameran tersebut yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok, merupakan satu permulaan ke arah dokumentasi lebih meluas terhadap ratusan bangunan warisan di Sarawak yang belum dipetakan secara sistematik.
“MEITD memperuntukkan RM10,000 kepada Kolej Komuniti Kuching bagi merealisasikan pameran ini, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pendidikan berasaskan projek,” katanya.
Pameran tersebut menampilkan hasil dokumentasi dan lukisan teknikal yang dihasilkan oleh pelajar Semester 3, Kursus Sijil Teknologi Senibina Kolej Komuniti Kuching melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek (project-based learning).
Antara bangunan yang diketengahkan ialah Darul Kurnia dan Old Hokkien School yang mempunyai nilai sejarah dan budaya tinggi kepada bandar raya Kuching.
Darul Kurnia, yang terletak di Jalan Green Hill, merupakan bangunan kolonial yang pernah menjadi kediaman rasmi dan mempunyai ciri seni bina kolonial Melayu yang unik.
Sementara itu, Old Hokkien School yang wujud sejak awal abad ke-20 merupakan simbol sejarah pendidikan awal komuniti Cina di Sarawak dan pernah menjadi institusi penting kepada generasi terdahulu.
Oleh Amanda L.