
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Negara (AG) berkaitan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Zabariah ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu turut memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar semakan kehakiman substantif di hadapan hakim baharu.
Pada 28 April lepas, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada AG untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan yang didakwa berkaitan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari tahun lepas.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.– Bernama