Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Dodol Nanas Tok Bri: Inovasi warisan dari Balik Pulau
  • NASIONAL

Dodol Nanas Tok Bri: Inovasi warisan dari Balik Pulau

Utusan Sarawak 7 hours ago
PENGASAS Dodol Tok Bri, Nur Aimi Razak, 34, menunjukkan pek dodol nanas yang dihasilkan untuk jualan di Kuala Sungai Pinang di sini. Kreativiti Nur Aimi yang menghasilkan dodol berasaskan nanas berjaya memberi nafas baharu kepada makanan warisan, sekali gus memperkenalkan variasi unik kepada juadah yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia. Foto Bernama

BALIK PULAU: Kreativiti seorang usahawan dari Kuala Sungai Pinang di sini yang menghasilkan dodol berasaskan nanas berjaya memberi nafas baharu kepada makanan warisan, sekali gus memperkenalkan variasi unik kepada juadah yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Pengasas Dodol Tok Bri, Nur Aimi Razak, 34, berkata idea untuk mengkomersialkan dodol nanas tercetus sekitar tiga tahun lepas ketika beliau mengikuti kursus anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Pulau Pinang selepas tertarik dengan keunikan dan khasiat buah nanas serta melihat potensi besar untuk dijadikan produk makanan baharu.

Beliau berkata isi buah nanas segar daripada varieti MD2 digunakan dalam penghasilan dodol berkenaan, yang dikisar sebelum ekstraknya dicampurkan bersama bahan asas lain iaitu tepung pulut, santan dan gula dalam mesin pemprosesan.

AHLI keluarga Dodol Tok Bri melakukan proses membungkus dodol di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau. Pengasas Dodol Tok Bri, Nur Aimi Razak, 34, menghasilkan dodol berasaskan nanas berjaya memberi nafas baharu kepada makanan warisan, sekali gus memperkenalkan variasi unik kepada juadah yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia. Foto Bernama

Dodol Tok Bri memilih nanas MD2 kerana rasanya lebih manis dan berkualiti premium berbanding varieti lain, namun pemilihan buah pada peringkat awal amat penting kerana ia mempengaruhi rasa akhir dodol.

“Jika nanas terlalu masak, kandungan asidnya lebih tinggi dan lama-kelamaan dodol akan menjadi kurang manis atau sedikit masam, begitu juga jika menggunakan varieti lain seperti Josepine atau Moris, rasanya tidak sama seperti MD2.

“Jadi, itu merupakan antara cabaran untuk kita mendapatkan rasa dodol yang tepat. Kena pastikan buah tidak terlalu ranum, masak dan manisnya sekadar sesuai untuk hasilkan dodol nanas,” katanya ketika ditemui Bernama di premis miliknya, di sini.

Bercerita lanjut, Nur Aimi menjelaskan proses memasak dodol nanas agak rumit dan mengambil masa lebih lama, iaitu antara 10 hingga 12 jam, kerana api tidak boleh dibuka terlalu besar bagi memastikan keseimbangan rasa dan tekstur adunan terpelihara.

“Kawalan api sangat penting dengan suhu tidak boleh melebihi 150 darjah Celsius. Jika api terlalu kuat, tekstur dodol akan terjejas, menjadi seperti karamel dan warnanya bertukar gelap, sedangkan dodol yang sempurna sepatutnya berwarna kuning keemasan,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata usaha menghasilkan tekstur dodol nanas yang sempurna bukan sesuatu yang mudah, malah beliau mengambil masa lebih setahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum produk itu benar-benar sedia untuk dikomersialkan pada Februari tahun lepas.

Beliau berkata sebuah mesin kawah mampu menghasilkan antara 60 hingga 65 kilogram dodol dengan sekitar 28 kilogram ekstrak nanas diperlukan bagi setiap adunan.

PENGASAS Dodol Tok Bri, Nur Aimi Razak, 34, menunjukkan pek dodol nanas yang dihasilkan untuk jualan di Kuala Sungai Pinang di sini. Kreativiti Nur Aimi yang menghasilkan dodol berasaskan nanas berjaya memberi nafas baharu kepada makanan warisan, sekali gus memperkenalkan variasi unik kepada juadah yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia. Foto Bernama

Bagi mendapatkan adunan yang lembut, kenyal serta tahan lama beliau menggunakan inovasi teknologi pemprosesan dodol berenzim yang dipelajarinya daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mengimbas sejarah perniagaan keluarganya, Nur Aimi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata perusahaan Dodol Tok Bri itu dimulakan oleh ibunya Rozaidah Mohd Kasim, 59, pada 2011 dengan bimbingan Jabatan Pertanian.

Pada peringkat awal, perniagaan mereka menghasilkan pelbagai produk berasaskan kelapa seperti pes rendang, kuah kacang dan dodol, manakala Bri itu pula diambil bersempena nama panggilan neneknya iaitu Sabri atau nama sebenar Siti Supiah Awang, yang meninggal dunia pada 2020.

“Disebabkan dodol mendapat permintaan tinggi terutama pada musim perayaan, jadi ibu fokus kepada produk dodol dan selain dodol nanas, kita ada dodol asli, pandan dan durian yang dihasilkan menggunakan isi durian D24 dan Musang King,” katanya.

EKSTRAK nanas segar varieti MD2 dicampurkan ke dalam mesin bersama bahan asas lain dalam adunan dodol iaitu tepung pulut, santan dan gula untuk menghasilkan dodol nanas di Kuala Sungai Pinang di sini. Pengasas Dodol Tok Bri, Nur Aimi Razak, 34, menghasilkan dodol berasaskan nanas berjaya memberi nafas baharu kepada makanan warisan, sekali gus memperkenalkan variasi unik kepada juadah yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia. Foto Bernama

Menjelang musim perayaan, beliau berkata pengeluaran keseluruhan dodol Tok Bri boleh mencecah sehingga 1.2 tan untuk semua jenis dodol, dengan 300 ke 400 kilogram daripadanya merupakan dodol nanas.

Nur Aimi berkata sebelum menyertai perniagaan keluarga, beliau pernah bekerja dalam bidang perbankan selama lima tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh masa kepada perusahaan tersebut bersama adik-beradik lain.

Meskipun dodol nanas Tok Bri baru setahun dipasarkan produk syarikat yang menerima Sijil Pengesahan Halal daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 2023 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan di seluruh negara.

Dodol Tok Bri kini mempunyai rangkaian ejen di seluruh negara dan turut menerima permintaan daripada pelanggan di United Kingdom (UK), Singapura dan Indonesia.- Bernama

Continue Reading

Previous: Remaja pecah gegendang telinga, patah hidung akibat mercun bola
Next: Kad raya pelajar OKU cetus hobi kekalkan tradisi kiriman kad raya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.