
KUCHING: Dock Lane tampil dengan mural baharu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang dilancarkan hari ini sebagai tambahan terbaharu kepada koleksi seni mural sedia ada di bandar raya ini, yang kini berjumlah 17 keseluruhannya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penghasilan mural tersebut bukan sahaja menceriakan kawasan berkenaan, malah memberi nafas baharu kepada lorong Dock Lane yang sebelum ini kurang menonjol.
“Kalau kita lihat kawasan ini, dahulu tidaklah semeriah seperti ini, tetapi dengan adanya mural yang diadakan, ia memberi satu keceriaan kepada lorong Dock Lane,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan mural berkenaan di sini, hari ini.

Mural yang dilancarkan hari ini dihasilkan oleh pelukis tempatan terkenal, Jagung atau nama sebenarnya Kong Chak Kiong dan disiapkan dalam tempoh 10 hari, dengan siap sepenuhnya pada 13 Januari 2026.
Sehubungan itu, beliau berkata mural tersebut turut membawa pengunjung menyusuri perjalanan sejarah bandar raya Kuching melalui visual yang dipaparkan dari permulaan hingga ke penghujung karya.
“Kalau kita lihat daripada muralnya dari permulaan sampai ke penghujung, menunjukkan sedikit sebanyak sejarah perjalanan bandar raya Kuching.
“Dengan masjid lamanya, Pengkalan Panjang dan di tempat pertengahannya diceritakan berkenaan dengan Brooke Dockyard serta kehidupan masyarakat Kuching. Ia satu perjalanan melihat pembangunan sejarah bandar raya Kuching,” tambahnya.

Menurutnya, seni mural dan grafiti mampu memberikan identiti tersendiri kepada bandar raya serta berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
“Satu-satu bandar raya kalau adanya mural seperti ini dan grafiti, ia akan memberikan identiti sendiri dan saya percaya ramai pengunjung akan datang, termasuk ke Muzium Brooke Dockyard apabila ia dirasmikan nanti, dan menggunakan mural ini sebagai latar belakang untuk mengambil gambar,” katanya.
Mural tersebut menampilkan pendekatan seni kontemporari berinspirasikan gaya kaca berwarna dengan garisan yang jelas serta penggunaan warna terang, sekali gus menghasilkan visual yang menarik dan bernilai estetika tinggi.
Mengangkat tema ‘Aliran dari kiri ke kanan: garis masa legasi Tebingan Kuching’, karya itu menggambarkan evolusi Kuching sebagai bandar pelabuhan yang kaya dengan sejarah dan budaya.
Abdul Karim menggesa orang ramai agar bersama-sama menjaga kemudahan awam termasuk karya seni yang dihasilkan supaya tidak dicemari vandalisme.
Oleh Adele Rissa