
KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX), melalui anak syarikatnya Dagang Net Technologies Sdn Bhd meraih kontrak bernilai AS$1.8 juta (AS$1 = RM4.29) bagi menyediakan kemudahan tapak dan membekalkan peralatan teknikal dan teknologi di enam lokasi di Malaysia, Indonesia, dan Turkiye.
Kontrak-kontrak itu diperoleh melalui penglibatan syarikat dalam Inisiatif Laluan Makkah (Makkah Route Initiative) Arab Saudi untuk 2025, bagi menyokong pengalaman haji yang lancar untuk umat Islam di seluruh dunia, katanya dalam satu kenyataan.
“Enam tapak yang terlibat ialah Terminal 1 KLIA (Malaysia), Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (Jakarta, Indonesia), Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda (Surabaya, Indonesia), Lapangan Terbang Adi Soemarmo (Solo, Indonesia), Lapangan Terbang Istanbul (Istanbul, Turkiye) dan Lapangan Terbang Ankara Esenboga (Ankara, Turkiye),” kata syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX Faizal Sham Abu Mansor berkata dengan meraih enam tapak yang sama pada 2025, ia merupakan bukti kepercayaan yang diberikan oleh Arab Saudi terhadap keupayaan dan komitmen syarikat berkenaan.
“Kerjasama berterusan kami dengan pihak berkuasa di Malaysia, Indonesia dan Turkiye juga mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan operasi dalam kerjasama antarabangsa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Inisiatif Laluan Makkah diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain dan DNeX telah terlibat dalam projek berkenaan sejak 2019.
Inisiatif berkenaan diteruskan di bawah pelaksanaan Elm Company, sebuah entiti milik kerajaan Saudi di bawah Dana Pelaburan Awam, iaitu badan pelaburan yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan Saudi.
Melangkah ke hadapan, DNeX optimis untuk memperoleh lokasi tambahan pada musim haji akan datang, setelah berjaya mendapatkan enam daripada sebelas tapak global Laluan Makkah tahun ini.
“Syarikat juga merancang untuk memperdalam kerjasama dengan Elm Company, meneroka peluang dalam sektor pengangkutan dan keselamatan selaras dengan strategi untuk memperluas penglibatan dalam projek-projek teknologi dan infrastruktur kerajaan antarabangsa,” tambahnya.– Bernama