Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Dividen KWSP dijangka 6.3-6.5 peratus pada 2025
  • BISNES

Dividen KWSP dijangka 6.3-6.5 peratus pada 2025

Utusan Sarawak 2 hours ago
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen antara 6.3 peratus dan 6.5 peratus bagi 2025.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen antara 6.3 peratus dan 6.5 peratus bagi 2025, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus untuk akaun simpanan konvensional dan Syariah bagi 2024.

Mohd Afzanizam berkata berdasarkan prestasi KWSP bagi tempoh sembilan bulan 2025, yang merekodkan peningkatan 11 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar, dana persaraan itu kekal berada pada landasan untuk pembayaran dividen yang memberangsangkan bagi tahun berkenaan.

“Kriteria pemilihan pelaburan KWSP yang konservatif dan bertanggungjawab telah membolehkannya mengoptimumkan keseimbangan antara risiko dan pulangan.

“Pendedahannya kepada pasaran global berjumlah kira-kira 38 peratus serta peruntukan yang lebih besar kepada aset pendapatan tetap menawarkan gabungan aset yang seimbang dan kepelbagaian geografi.

“Ini sekali gus membantu meminimumkan risiko portfolio dan pada masa sama memaksimumkan pulangan pelaburan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata sehingga suku ketiga 2025, ekuiti dan pendapatan tetap masing-masing merangkumi 46 peratus dan 45 peratus daripada jumlah aset KWSP, diikuti hartanah dan infrastruktur sebanyak tujuh peratus serta instrumen pasaran wang sebanyak dua peratus.

“Setiap kelas aset mempunyai tujuan yang tersendiri dalam portfolio. Ekuiti khususnya bertujuan untuk meningkatkan modal manakala instrumen pendapatan tetap menawarkan pengekalan modal dan instrumen pasaran wang yang menyokong pengurusan mudah tunai,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata lazimnya ekuiti mempunyai premium risiko yang lebih tinggi manakala instrumen pendapatan tetap dan pasaran wang menunjukkan risiko yang rendah.

Langkah ini membolehkan KWSP untuk mengoptimumkan portfolionya bagi pulangan yang lebih baik dan pada masa sama menguruskan risiko dengan berkesan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata strategi KWSP untuk mempelbagaikan kelas asetnya di samping pelaburan di dalam dan luar negara banyak membantu dalam mencapai kadar dividen yang lebih tinggi.

“Selain itu, pasaran ekuiti terus mengukuh seperti yang dilihat apabila KWSP meningkatkan pegangan sahamnya dalam IJM Corporation Bhd kepada 20.4 peratus sekali gus menjadikannya pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan itu.

“Pengukuhan ringgit berbanding mata wang lain turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan pelaburan negara,” katanya.

Juliana menekankan bahawa faktor seperti perubahan dalam kadar faedah global, kestabilan mata wang dan ketidakpastian geopolitik termasuk pelarasan kepada kadar tarif dan dasar perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat boleh menjejaskan pulangan dan sentimen pasaran.

Beliau berkata pertumbuhan pesat segmen bekerja sendiri yang kini melebihi tiga juta individu, selaras dengan perubahan struktur dalam pasaran buruh seperti pekerja gig yang meningkat menjadi faktor penting di sebalik peningkatan caruman sukarela.

“Saya menjangkakan dividen mungkin bergerak dalam julat 5.5 hingga 6.5 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan turun naik adalah bergantung kepada prestasi pasaran global dan kecekapan strategi pelaburan KWSP,” katanya.

-Bernama  

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal
Next: Pendapatan Press Metal dijangka melangkaui RM2 bilion susulan kenaikan harga aluminium

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.