KUCHING: Gara-gara gagal membayar hutang sebanyak RM500, seorang pekerja binaan ditetak tangannya dan kepalanya dipukul dengan benda tumpul pada malam Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki yang cedera itu tidak menjelaskan hutangnya dan diserang di rumahnya pada 8.30 malam di RPR, Jalan Arang di sini.
Mangsa berusia 35 tahun bersama tiga lagi rakannya berada di rumah dan didatangi oleh seseorang yang pada mulanya mengetuk pintu rumahnya.
Bagaimanapun ketika rakannya membuka pintu rumah tersebut, penyerang yang memegang senjata tajam bersama dua orang tidak dikenali meluru masuk.
Penyerang yang memegang senjata tajam pergi ke arah mangsa dan menetaknya serta memukulnya di tangan kiri menyebabkan tangan mangsa cedera dan berdarah.
Seorang lagi suspek lelaki mengetuk kepala mangsa dengan benda tumpul sebelum semua suspek bertindak melarikan diri setelah melihat mangsa cedera.
Abang Zainal berkata mangsa mengalami luka di bahagian kepala sebelah kanan, luka di sebelah kanan jari manis kanan dan dua jahitan pada setiap jari dan empat jahitan di tapak tangan.
Berdasarkan kenyataan, mangsa berkata penyerang dan dia sebelum ini berkawan serta beliau masih berutang dengan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan objek tajam.
Polis kini sedang memburu suspek.
Oleh CONNIE CHIENG