Oleh: Azrinna Jamahari
DOKTOR FARHANA membetulkan dahan kaca matanya yang melurut di hidung. Dia memerhati Azura setelah menulis sesuatu di sekeping kertas. Dia bertanyakan soalan tentang tidur malam, sakit-sakit badan, rasa kosong setiap masa hampir sepanjang hari, selera makan, sukar fokus dan segala simptom depresi menurut panduan diagnos manual penyakit kecelaruan mental atau lebih dikenali dengan singkatan dsm-5. Dia juga mencatat di kertas itu telah beberapa kali Azura mencederakan dirinya dan semakin kerap sejak dua tiga tahun kebelakangan. Rasa ingin mati juga sepanjang masa hampir setiap hari.
Azura menjadi semakin cemas dengan kesenyapan yang kian melemaskannya sementara menanti Doktor Farhana meneliti sebuah buku berbahasa Inggeris yang agak tebal tertera satu perkataan yang terkenal sejak Covid-19 iaitu depression.
“Dengan dukacita hasil diagnos kami, anak puan disahkan menghidap Persistent Depressive Disorder dan Persistent Major Depressive Disorder. Puan kena bagi banyak perhatian dan sokongan kepadanya. Penyakit begini sukar dihadapi sendirian.” Doktor Farhana memandang ke wajah Puan Jasmin dan Azura dengan simpati.
Puan Jasmin menitiskan air mata. Sementara Azura hanya terdiam. Riak wajahnya kelihatan tenang namun suara Doktor Farhana itu antara dengan tidak sahaja di cuping di telinga. Kegelisahan melalui proses ujian saringan kesihatan mental di klinik kesihatan yang bersambung dengan rujuk ke hospital dan setelah menjawab pertanyaan demi pertanyaan dari Doktor Farhana tadi telah berakhir. Sekurang-kurangnya dia telah tahu nama penyakitnya. Selesai urusan diagnos dengan Doktor Farhana di ruangan kecemasan, Azura dan Puan Jasmin ke kaunter farmasi pesakit luar.
Dalam kereta Grab, dalam perjalanan pulang ke rumah, Azura jadi tidak sabar untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyakitnya. Doktor Farhana mengatakan dia boleh cuba cari di Google kerana dia telah berdiagnos. Doktor Farhana tidak sempat bercakap panjang soal penyakitnya kerana tergesa-gesa. Dia harus cepat kerana banyak urusan lagi di unit psikiatri.
Malam itu juga Azura cuba menerima hakikat bahawa dirinya menghadapi depresi bukan kesedihan biasa. Dia adalah pesakit mental! Diagnos siang tadi dirasakan bagai seorang pesalah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah.
Azura menaip ‘Persistent Depressive Disorder’ di Google. Terpaparlah beberapa maklumat seperti simptom dan implikasi dari penyakit itu. Apa yang Azura mengerti adalah penyakitnya tidak sama dengan Major Depressive Disorder. Walaupun simptomnya kebanyakan sama kecuali Major Depressive Disorder adalah penyakit kemurungan pada tahap kritikal selama 2 minggu selang antara 2 bulan. Sedangkan penyakitnya, kemurungannya ringan tetapi berterusan hampir setiap hari dan sepanjang masa melebihi 2 tahun untuk didiagnos dengan Dysthymia. Implikasi Dysthymia adalah mencederakan diri, cubaan membunuh diri dan juga kecelaruan personaliti.
Setelah menelan Luvox dan Clonazepam, Azura pun berasa beransur mengantuk. Ubat antikemurungan seperti yang diberitahu oleh Doktor Farhana, perlu diambil dalam dos yang rendah. Dalam 2 minggu lagi dia akan ada janjitemu dengan psikiatris.
Pagi itu Azura terjaga agak lewat. Dia berasa seluruh sendinya lenguh dan belakang badan sehingga ke paha terasa agak sakit. Kelesuan juga menangguhkan dia bangkit dari katil. Matanya juga dirasakan kelat. Setelah malam pertama menelan ubat antikemurungan, dia tahu ini kesan sampingan dan tubuhnya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan ubat-ubatan tersebut.
Inilah kali pertama Azura menginjakkan kakinya di unit psikiatri. Bukan lagi di ruangan kecemasan seperti 2 minggu lalu. Jantungnya terasa mahu gugur dari dada, kedua-dua tangannya menjadi sejuk serta perutnya berasa keras. Laluan hospital yang sesak dengan orang menimbulkan rasa takut dan segan apatah lagi tadi ada beberapa mata menatapnya melangkah ke unit psikiatri. Dia berasa malu memasuki ke unit yang selalu disebut ramai orang sebagai tempat orang gila.
Persekitaran yang tenang dan pesakit yang duduk menanti giliran ralit menonton televisyen serta ada yang sibuk dengan telefon pintar memadamkan adegan yang kerap Azura lihat dalam filem atau drama memperlihatkan situasi unit psikiatri. Barangkali adegan pesakit mental yang bertingkah aneh lebih sering dilihat dalam wad. Bukannya di unit untuk pesakit luar seperti di sini. Barulah Azura mengerti tidak semestinya pesakit mental harus ditahan di dalam wad. Keadaan demikian apabila kronik sahaja.
Barulah dia mengerti apabila ada desakan ingin mencederakan diri atau ada cubaan membunuh diri boleh ke bahagian kecemasan dan ditahan disana serta dijenguk oleh psikiatris. Ada yang dijaga sementara di wad untuk tempoh aktif cederakan diri dan dibenarkan pulang apabila sudah baik sedikit. Bukannya agak dramatik seperti dalam filem Amerika Syarikat yang berjudul Girl, Interrupted.
“Apa khabar Azura? Bagaimana awak rasakan sepanjang 2 minggu ni?” Doktor Farhana bertanya. Di hadapannya ada komputer dan papan kekunci. Sesekali kedengaran bunyi ketikan papan kekunci.
“Saya berasa agak lesu, kerap mengantuk dan masih rasa kosong.”
“Apa yang awak buat untuk mengalih perhatian dari rasa kosong? Masih self-harm? Masih suicidal?”
“Saya kerap melukis. Saya masih self-harm dan masih suicidal.”
“Ada apa-apa yang trigger awak? Kenapa awak cederakan diri?”
“Saya rasa kosong dan rasa amat bercelaru dalam masa yang sama. Saya tak dapat pastikan apa saya rasa. Setiap kali saya rasa macam tu, saya cakar dan gigit lengan saya supaya rasa sakit membuatkan saya juga masih ada rasa sakit dalaman. Bukannya robot.”
“Melukis membantu awak alih perhatian?”
“Membantu juga.”
“Kalau macam tu, cuba distract dengan melukis. Saya tak mahu awak cederakan diri lagi. Saya juga naikkan sikit dos ubat awak. Kita jumpa lagi dalam sebulan. Saya aturkan awak dengan terapi carakerja boleh?”
“Boleh, Doktor.”
“Azura, diri awak dan nyawa awak berharga tau. Saya serius tak ingin awak cederakan diri lagi. Kalau boleh, ada masalah apa-apa, jangan pendam seorang diri. Cari seseorang yang boleh dipercayai. Awak dah sampai sini. Ke tangan pakar tu bagus dah tu. Awak ada keberanian. Saya ucapkan tahniah. Awak tak skip ubat pun tahniah ye. Awak berjaya tolong diri sendiri.”
Minggu berikutnya, Azura ke bilik bernombor 501. Bilik terapi carakerja. Azura mula gementar. Dia berharap pakar terapinya berempati seperti Doktor Farhana. Bukan seperti orang lain yang gemar menghukum dan menganggapnya tidak cukup beriman dan masih kurang mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Kerisauan dalam hati Azura memudar apabila disambut mesra oleh pakar terapinya, Puan Hanna. Azura dibawa masuk ke sebuah bilik yang di dalamnya ada pendingin hawa, beberapa buah kerusi, dan sebuah set komputer. Puan Hanna meminta Azura duduk dengan selesa. Dia duduk bertentangan dengan Azura dengan membuka sebuah fail di tangannya setelah memutar lagu berentak perlahan dan menyenangkan. Dia ingin menimbulkan suasana relaks sebelum memulakan sesi terapi.
Sesi yang bermula selama sejam itu dimulakan dengan bertanya tentang latarbelakang Azura sejak dari zaman kecilnya, zaman remajanya dan zaman dewasanya. Poin-poin latarbelakang itu digunakan oleh Puan Hanna untuk menyelongkar dari sudut psikologi dan sosial. Ini penting bagi menyelidik faktor yang mendorong penyakit Dysthymia yang dihadapi oleh Azura.
Puan Hanna menyatakan dengan ringkas akan kesan rendah diri Azura sehingga menimbulkan rasa kosong itu datangnya dari ketidakseimbangan neurotransmitter seperti serotonin, oxytocin, dopamine dan endorphin. Untuk kesan jangka panjang, Azura digalakkan menulis jurnal kesyukuran, digalakkan mencatat nilai kebaikan dalam diri dan peristiwa yang memberi rasa kesyukuran supaya Azura akan berasa dirinya dan hidupnya berharga kembali.
Azura juga digalakkan mencuba pelbagai hobi untuk merangsang hormon keyakinan dirinya. Setelah itu, Azura diajar cara terapi seperti terapi pernafasan dan bermeditasi untuk mengembalikannya ke masa sekarang kerana depresi antara penyakit mental yang membuatkan seseorang mengelamun sama ada ke masa lalu atau terlalu runsing akan masa hadapan dan sukar fokus. Meditasi grounding itu memerlukan Azura menggunakan kesemua derianya. Ini baik untuk mengalih perhatiannya dari brain fog oleh Dysthymia.
Tamat sesi terapi, Azura tidak terus pulang ke rumah. Dia berhasrat untuk ke kedai buku. Dia berazam untuk mencari buku-buku berkaitan penyakit mental dan psikologi. Dia ingin memahami penyakitnya dan berintrospeksi dengan dirinya sendiri supaya dia mudah memberikan penjelasan kepada psikiatris pada janjitemu akan datang.
Dia mula sedar langkah untuk merawat adalah dengan mengetahui keadaan dirinya sendiri kerana diagnosis doktor juga dari setiap sesi janjitemu dan rawatan dibuat dengan setiap penemuan baharu. Dia mula kena awasi dan peka dengan ubat yang dimakannya, kesan sampingan ubat serta kesan terlupa ambil ubat atau tertinggi dos kemudian dia harus melaporkan kesan ubat tersebut kepada psikiatris pula. Jika ada ubat tidak sesuai dengan dirinya, psikiatris akan menukar ubat tersebut dengan ubat yang lain. Proses ini akan berterusan sehingga ada ubat yang sesuai dengannya.
Dia insaf bahawa proses penyembuhan untuk penyakit mental adalah secara holistik. Betapa rumitnya hendak mencari faktor dan rawatan yang sesuai kerana faktornya berspektrum antara genetik, psikologi dan sosial. Disebabkan itu, dia mulai mengerti fungsi terapi dan ubat. Faktor setiap pesakit juga berlainan dan tahap penyakit mental setiap pesakit juga berlainan walaupun menghidap jenis penyakit yang sama.
Setelah diagnosis dan beberapa kali janjitemu, dia merasakan dia berada di alam yang berlainan. Dia berada di dunia psikiatrik. Terdapat dinding di antara dunia normal dan tidak normal. Sesuatu yang tidak diketahui majoriti itu biasanya berstigma. Ramai orang berstigma bahawa mencederakan diri itu sekadar tingkah menadah perhatian. Baginya dan juga dunia psikologi, perbuatan mencederakan diri itu sebenarnya bersangkut-paut dengan kesakitan dalaman. Sakit luaran diperlukan untuk mengalih sakit dalaman.
Dia mengekspresikan kesakitan dalaman dan perjuangan melawan kecelaruan mood itu ke dalam bentuk lukisan. Lukisan-lukisannya telah menarik perhatian Puan Hanna dan Doktor Farhana. Dia dijemput menghadiri ke acara pembukaan Mentari di sebuah pusat kompleks membeli-belah. Mentari adalah unit terapi dan kaunseling pesakit mental. Tujuan pembukaan Mentari di situ adalah untuk menyebarkan kesedaran kesihatan mental serta memudahkan pesakit mental yang ingin menjalani terapi atau kaunseling tanpa perlu ke hospital. Lukisan-lukisan Azura juga dipamerkan di ruangan tertutup itu.
“Untuk menuju ke arah kesembuhan, pesakit mental memerlukan kitaran yang positif dan supportive. Mereka makan ubat, jalani terapi tetapi kalau terperangkap pada persekitaran yang menekan, ia akan memperlahankan proses kesembuhan,” kata Puan Qistina, doktor yang Azura tahu datang dari Semenanjung Malaysia.
Selesai pengucapan dari doktor dan ahli yang terlibat, Azura berbual-bual dengan Doktor Qistina. Doktor Qistina sempat menyebutkan perihal ramai generasi muda suka diagnos diri sendiri tanpa berjumpa pakar. Ia akan menenggelamkan pesakit yang benar-benar sakit dan memerlukan bantuan tetapi tidak ada sesiapa sudi mendengar dan membantu kerana ditenggelamkan oleh mereka yang mendiagnos diri sendiri.
“Ada simptom penyakit fizikal yang menyerupai simptom penyakit depresi. Contohnya, Hypothyroid. Jadi, kalau diagnos diri sendiri tanpa berjumpa pakar akan menyukarkan jalan rawatan yang sesuai,” katanya lagi.
Azura termenung panjang mengenangkan perbualan-perbualan itu di dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Dahulu dia pernah menyumpah kesakitan menghidap Distimia. Kini tidak lagi. Kesakitan yang kronik ini ternyata adalah pintu untuk dia lebih memahami golongan pesakit mental. Dia salah seorang dari golongan itu. Seperti yang pernah diucapkan Puan Hanna,
“Proses penyembuhan bukanlah sebuah destinasi melainkan sebuah perjalanan.”
Proses penyembuhannya masih jauh. Ada banyak lagi Azura perlu introspeksi dan studi akan latarbelakangnya untuk berterusan membantu rawatan yang sesuai. Beradaptasi dengan norma baharu juga terpakai bagi yang mendapatkan rawatan dengan psikiatris sepertinya.
Dia tersenyum memandang biasan dirinya di cermin kereta. Penyakit Distimia itu bukan aib.
‘Semoga habisnya hujan, ada cahaya mentari seperti hari ini.’