
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengumumkan promosi khas berupa diskaun 50 peratus ke atas denda lewat bayaran bagi tunggakan cukai taksiran.
Pengerusi MPS, Clarence Ting berkata, tempoh promosi ini telah dilanjutkan dan kini berlangsung dari 1 Jun 2025 hingga 31 Oktober 2025.
Menurutnya, bayaran ansuran dibenarkan di bawah promosi ini untuk mereka yang memerlukannya.
“Pembayaran boleh dibuat menggunakan mana-mana kaedah pembayaran yang tersedia. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa pembayaran perlu terlebih dahulu dibayar untuk bil yang terdahulu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MPS, hari ini.
Katanya, orang ramai boleh membuat bayaran di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak, mesin kiosk Servis Sarawak, secara atas talian melalui Jompay dan SarawakPay.
“Untuk kemudahan orang ramai, waktu operasi pembayaran di UTC Sibu adalah Isnin hingga Jumaat bermula 8.00 pagi hingga 7.00 malam, Sabtu dan Ahad bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
“Lokasi kaunter terletak di Kaunter Agensi Kerajaan Negeri Sarawak, UTC 1, Tempat Letak Kereta Bertingkat Pasar Sentral Sibu, No.2, Jalan Bengkel, Sibu,” jelasnya.
Katanya, MPS turut menggalakkan orang ramai mendaftar e-billing, iaitu sistem bil cukai taksiran secara dalam talian yang dihantar melalui emel sejak 2023.
Oleh Akun Giman