
JULAU: Disiplin diri menjadi asas utama dalam membentuk kejayaan anak muda masa kini, kata Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Sangin Juat.
Beliau berkata kejayaan tidak datang dengan mudah sebaliknya bermula daripada sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
“Anak-anak tidak boleh bersikap seperti raja, di mana semua permintaan mesti dituruti ibu bapa. Mereka harus belajar berdikari, mengurus keperluan diri sesuai dengan kemampuan dan latar belakang keluarga,” katanya ketika berucap pada Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 di SMK Julau No. 2 baru-baru ini.
Sangin menegaskan usia remaja antara 13 hingga 17 tahun adalah masa terbaik untuk membentuk disiplin asas.
“Membiasakan diri mencuci pakaian sendiri, bersiap ke sekolah tanpa terlalu bergantung pada ibu bapa serta tidak terlalu terikut-ikut dengan orang lain adalah tabiat mudah tetapi akan menjadi bekal besar dalam mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya membuat pilihan bijak dalam bidang pengajian berdasarkan minat dan pasaran pekerjaan, selain tidak menipu ibu bapa demi kepentingan diri.
“Kita harus berani melihat kelemahan diri. Tidak salah lahir dalam keluarga susah, tetapi amat rugi jika tidak berusaha keluar daripada kepompong kesusahan,” katanya.
Menurutnya, ramai anak kelahiran Sarawak khususnya dari Julau kini berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat kolej serta berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam, termasuk lima bekas pelajarnya di Kolej Vokasional Betong yang dahulu kurang keyakinan diri tetapi kini telah membuktikan kemampuan mereka.
“Berdiri jangan sampai terlalu angkuh, duduk jangan sampai kita terbunuh, adab dulu, baru ilmu,” katanya sambil menegaskan pesanan itu harus dijadikan pegangan bukan sahaja oleh anak muda, malah juga ibu bapa sebagai rakan pembimbing generasi akan datang.
Oleh Tarani Lanting