
DALAM kehidupan seharian, ramai manusia mengimpikan kejayaan sama ada dalam pelajaran, kerjaya, keluarga mahupun urusan akhirat.
Namun, tidak semua mampu mencapainya walaupun memiliki impian yang sama. Perbezaan utama antara mereka yang berjaya dan yang gagal sering kali bukan terletak pada kebijaksanaan atau kekayaan, tetapi pada disiplin diri.
Disiplin diri ialah keupayaan seseorang untuk mengawal diri, mematuhi peraturan, konsisten dalam amalan serta sanggup berkorban demi mencapai matlamat yang diredai Allah SWT.
Dalam Islam, disiplin diri bukan sekadar nilai moral, bahkan ia merupakan asas kejayaan dunia dan akhirat.
Disiplin diri bermaksud kemampuan seseorang mengurus masa, perasaan, keinginan dan tanggungjawab dengan teratur serta berlandaskan syariat. Orang yang berdisiplin tahu membezakan antara keperluan dan kehendak, antara yang bermanfaat dan yang melalaikan.
Islam sangat menitikberatkan disiplin kerana seluruh ibadah yang diwajibkan kepada manusia sebenarnya melatih umat Islam agar hidup secara teratur dan berdisiplin.
Hal ini dapat dilihat melalui kewajipan solat lima waktu. Solat yang ditentukan waktunya mendidik umat Islam agar menghargai masa dan mematuhi peraturan. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisa’, ayat 103)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengajar disiplin melalui penetapan masa. Orang yang menjaga solat tepat pada waktunya sebenarnya sedang melatih disiplin diri dalam kehidupan harian.
seseorang mampu berdisiplin dalam urusan ibadah, maka dia juga akan lebih mudah berdisiplin dalam urusan lain seperti bekerja, belajar dan mengurus keluarga.
Disiplin diri juga berkait rapat dengan kesungguhan dan istiqamah. Kejayaan tidak datang secara tiba-tiba, sebaliknya memerlukan usaha yang konsisten walaupun sedikit.
Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajar bahawa kejayaan bukan diukur melalui usaha besar yang dilakukan sekali-sekala, tetapi melalui disiplin melakukan kebaikan secara berterusan.
Pelajar yang berjaya bukan hanya belajar sehari sebelum peperiksaan, tetapi mereka yang berdisiplin mengulang kaji sedikit demi sedikit setiap hari.
Begitu juga dalam ibadah, mereka yang istiqamah membaca al-Quran walaupun beberapa ayat setiap hari akan memperoleh keberkatan yang besar.
Disiplin diri juga menuntut kemampuan mengawal hawa nafsu. Nafsu yang tidak dikawal akan membawa manusia kepada kelalaian, kemalasan dan kegagalan.
Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran: “Dan adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada mengikuti hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah an-Nazi‘at, ayat 40–41)
DISIPLIN DIRI MEMBENTUK KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT
Disiplin diri bukan sekadar membawa kejayaan dunia, malah menjadi bekalan penting untuk akhirat. Orang yang berdisiplin dalam ibadah akan lebih dekat dengan Allah SWT, manakala orang yang berdisiplin dalam akhlak akan disenangi manusia.
Gabungan ini melahirkan keseimbangan hidup yang sebenar. Kejayaan dalam Islam bukan hanya diukur melalui harta atau pangkat, tetapi melalui keredaan Allah SWT dan keselamatan di akhirat.
Disiplin diri juga membantu seseorang menghadapi ujian hidup dengan sabar dan tabah. Apabila seseorang terbiasa mengawal emosi dan bertindak secara teratur, dia tidak mudah berputus asa apabila diuji. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah SWT bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)
Kesabaran itu sendiri memerlukan disiplin diri. Tanpa disiplin, manusia mudah mengeluh dan menyalahkan takdir. Namun, dengan disiplin, seseorang mampu bangkit dan terus berusaha walaupun berdepan kegagalan.
Sebagai kesimpulan, disiplin diri merupakan kunci utama kejayaan menurut perspektif Islam. Ia membentuk peribadi yang teratur, istiqamah, amanah dan bertanggungjawab.
Melalui disiplin diri, seseorang bukan sahaja berjaya dalam urusan dunia seperti pelajaran dan kerjaya, malah berjaya mencapai matlamat akhir iaitu keredaan Allah SWT.
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah melatih diri dengan disiplin bermula daripada perkara kecil seperti menjaga waktu solat, mengurus masa dan mengawal nafsu, kerana daripada disiplin inilah lahirnya kejayaan yang hakiki.
Bilal Bin Rabah Ra yang teguh dengan ujian

BILAL bin Rabah RA merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang kisah hidupnya sangat menyentuh hati. Beliau berasal daripada golongan hamba dan berkulit hitam, anak kepada Rabah dan Hamamah.
Pada zaman jahiliah, Bilal dimiliki oleh Umayyah bin Khalaf, seorang pembesar Quraisy yang terkenal kejam dan memusuhi Islam. Walaupun berada dalam kedudukan yang hina pada pandangan manusia, Bilal dimuliakan oleh Allah kerana keimanan dan keteguhan hatinya.
Apabila Bilal mendengar dakwah Rasulullah SAW tentang keesaan Allah SWT, hatinya terbuka untuk menerima Islam. Beliau memeluk Islam secara diam-diam, namun akhirnya diketahui oleh tuannya.
Umayyah bin Khalaf berasa sangat marah kerana Bilal meninggalkan agama nenek moyangnya. Sejak itu, Bilal diseksa dengan kejam agar kembali kepada kekufuran. Beliau dijemur di bawah panas terik padang pasir, diikat dan ditindih dengan batu besar di atas dadanya.
Dalam keadaan diseksa sedemikian rupa, Bilal tidak pernah mengalah. Bibirnya terus mengucapkan kalimah “Ahad, Ahad”, tanda pengakuan bahawa Allah itu Maha Esa. Walaupun tubuhnya lemah dan kesakitan, imannya tetap kukuh.
Keteguhan Bilal menjadi bukti bahawa iman yang sebenar tidak mudah digoyahkan oleh penderitaan dunia. Beliau lebih memilih kesakitan sementara daripada kesengsaraan di akhirat.
Kisah penderitaan Bilal akhirnya diketahui oleh Abu Bakar As-Siddiq RA. Dengan penuh rasa belas kasihan, Abu Bakar RA membeli dan memerdekakan Bilal daripada Umayyah bin Khalaf.
Pembebasan ini bukan sekadar membebaskan tubuh Bilal daripada perhambaan, tetapi juga memerdekakan maruah dan kehidupannya sebagai seorang Muslim yang bebas beribadah kepada Allah SAW.
Setelah Islam semakin kuat, Rasulullah SWT memilih Bilal sebagai muazin pertama Islam. Suara Bilal yang lantang dan merdu melaungkan azan menjadi simbol kemenangan iman atas kezaliman.
Kedudukan Bilal yang dahulu dipandang rendah kini dimuliakan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya. Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Baginda mendengar bunyi tapak kaki Bilal di dalam syurga, menunjukkan betapa tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.
Kisah Bilal bin Rabah RA mengajar umat Islam tentang erti kesabaran, keteguhan iman dan keikhlasan dalam menghadapi ujian. Beliau membuktikan bahawa kemuliaan seseorang bukan diukur melalui rupa, keturunan atau kedudukan, tetapi melalui iman dan ketakwaan.
Dalam menghadapi cabaran hidup hari ini, kisah Bilal mengingatkan kita agar terus berpegang teguh kepada kebenaran walaupun diuji, kerana pertolongan Allah SWT pasti datang kepada mereka yang sabar dan istiqamah.
Hanzalah Azman