Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Discover Science Together 2025 perkukuh jalinan komuniti melalui sains dan penyelidikan
  • TEMPATAN

Discover Science Together 2025 perkukuh jalinan komuniti melalui sains dan penyelidikan

Utusan Sarawak 15 hours ago
AMANAT…Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berucap pada perasmian Program Discover Science Together 2025 yang berlangsung di Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI) di sini, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Program Discover Science Together 2025 anjuran Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dengan kerjasama Pusat Sains Sarawak (SSC) berlangsung meriah hari ini.

Program ini turut disokong oleh Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) serta Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI), dengan membawa tema ‘Menghubungkan Komuniti Melalui Sains dan Penyelidikan.’

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, yang menegaskan bahawa bidang sains bukan hanya tertumpu kepada teori dan eksperimen di makmal, tetapi turut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat serta pemangkin kepada kemajuan negeri.

“Melihat begitu ramai wajah muda hari ini memberi harapan besar untuk masa depan. Anda semua adalah inovator, saintis dan pemimpin masa depan Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

KENANGAN…Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merakam kenangan bersama tetamu kehormat dan para peserta Program Discover Science Together 2025 yang berlangsung di Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI) di sini, hari ini.

Menurut beliau, usaha memperkasa masyarakat melalui sains dan penyelidikan amat penting dalam menjayakan agenda Sarawak Maju Makmur di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menumpukan kepada pembangunan berasaskan data, inovasi serta peningkatan modal insan.

Sagah berkata kerajaan negeri telah menetapkan sasaran 60 peratus pelajar mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang 2030 sebagai langkah strategik bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran global.

Dalam pada itu, beliau turut menyorot pelaksanaan inisiatif PhenomeSk oleh SIDC yang bertujuan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat penyelidikan global dalam bidang fenomik.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, inisiatif ini akan membangunkan pangkalan data berasaskan populasi dan patogen serta repositori bahan biologi yang akan menjadi rujukan penting dalam dunia penyelidikan,” katanya.

Tambah beliau, pelaburan dalam bidang penyelidikan dan inovasi bukan sekadar persediaan menghadapi masa depan, tetapi langkah proaktif untuk membentuknya.

ANTARA reruai yang terdapat pada Program Discover Science Together 2025 yang berlangsung di Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI) di sini, hari ini.

“Kita sedang memperkasa generasi muda dengan kemahiran baharu, memupuk inovasi yang menjawab keperluan tempatan serta membina sistem kesihatan awam yang kukuh dan berdaya tahan,” ujarnya.

Sagah turut menggalakkan masyarakat, khususnya pelajar, agar memanfaatkan Hari Terbuka berkenaan untuk berinteraksi dengan para penyelidik, bertanya soalan dan meneroka dunia sains yang luas.

“Biarlah program ini menjadi titik permulaan kepada budaya masyarakat celik sains dan penyelidikan. Sains ialah perjalanan bersama yang harus kita tempuhi secara kolektif,” tegasnya.

Program tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif, demonstrasi eksperimen dan sesi penerangan yang dikendalikan oleh penyelidik SIDC dan SSC.

Penganjuran Discover Science Together 2025 sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan negeri serta agensi penyelidikan tempatan dalam memperkukuh jaringan ilmu, memupuk minat terhadap sains dan mengukuhkan peranan Sarawak sebagai peneraju inovasi di rantau ini.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Kerajaan Sarawak komited perkukuh keharmonian agama, salur RM19.07 Juta bina rumah ibadat
Next: Sarawak perkenal kaedah torehan ‘punching’, lonjak industri getah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.