SEDIA BERKHIDMAT… Datu Junaidi Reduan menyemat pangkat salah seorang pegawai badan beruniform
DBKU pada Majlis Perbarisan Badan Beruniform DBKU di Pejabat DEPO, Jalan Semariang, semalam.
KUCHING: Warga kerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terutamanya badan beruniform dinasihatkan agar lebih peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk semua warga bandaraya.
Datuk Bandar DBKU, Datu Junaidi Reduan berkata, pegawai badan beruniform merupakan barisan yang paling hadapan dan yang paling awal bertindak dalam apa jua keadaan.
“ Hal ini penting bagi memastikan keharmonian Bandaraya Kuching di samping memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga kota.
“ Tidak lupa juga kepada warga kerja dalaman DBKU yang turut mengerah tenaga dalam gerak kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Badan Beruniform DBKU di Pejabat DEPO Jalan Semariang, semalam.
Malah, beliau turut berharap semua pegawai badan beruniform DBKU menganggap tugas ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan semangat yang tinggi.
“Bekerjalah dengan penuh kesungguhan, komited dan galaslah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada anda sebaiknya.
“Terima kasih kepada anda semua kerana tanpa ragu untuk mengerah tenaga dalam menjaga keselamatan, kebersihan, ketenteraman dan keharmonian Bandaraya Kuching,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kerana pegawai badan beruniform DBKU sanggup mengetepikan kepentingan diri, berhujan panas, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko di luar sana.
Oleh NUR AIN OTSMAN